Miniproca All-in-One Ialah PC Desktop Padat Dengan Paparan Skrin Terbina
Nazrin
Komputer desktop yang hadir dengan rekaan padat bukanlah sesuatu yang baru. Salah satu pelopor komputer kecil ialah Intel melalui komputer NUC (Next Unit of Computing) mereka yang memperlihatkan komponen desktop didalam rangka komputer yang padat, sebelum hak penjenamaan dan penggunaan teknologi NUC dijual ke ASUS.

Terkini, sebuah syarikat teknologi baru yang dinamakan Miniproca telah membuka pra-tempahan untuk penawaran komputer padat mereka sendiri yang dinamakan Miniproca All-in-One melalui laman biayasama Kickstarter, dan memperlihatkan sejumlah spesifikasi yang cukup menarik sekali.

Dari segi rekaan, ia tidak jauh berbeza berbanding dengan rekaan sebuah komputer NUC. Diperbuat daripada logam aluminum, ia hadir dengan dimensi 175mm x 137mm x 55mm yang membuatkannya cukup padat sekali.
Komputer Miniproca All-in-One ini dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen 9 6900HX dan tampil dengan pilihan memori dan storan DDR4 dari 8GB, 16GB dan juga 32GB, manakala dari segi storan, pengguna boleh memilih untuk mendapatkan storan SSD M.2 PCIe 4.0 sebesar 512GB, 1TB dan juga 2TB. Seperti biasa, bahagian memori dan storan komputer ini boleh ditukar ke pilihan anda sendiri jika anda mahukan.

Keunikan komputer Miniproca ini hadir melalui paparan skrin boleh-sentuh 7 inci yang hadir dengan resolusi 4K dan juga mempunyai kadar segar semula 120Hz. Paparan skrin ini boleh diangkat ke keadaan menegak, dan menariknya boleh dicas menggunakan pengecas 120W yang membuatkannya sebuah komputer yang juga boleh dibawa kemana-mana.

Miniproca mengatakan bahawa cara terbaik untuk menggunakan komputer mereka ialah dengan untuk menyambungkan paparan utama menggunakan sambungan HDMI, DisplayPort ataupun USB Type-C ke sebuah paparan yang lebih besar, dan untuk menggunakan paparan 7 inci terbina sebagai paparan sekunder.
Laman Kickstarter Miniproca memperlihatkan bahawa mereka sudahpun melepasi jumlah nilai pembiayaan yang diperlukan untuk projek ini diteruskan. Merka hanya meminta $5000, dan setakat ini, sebanyak $48,635 telah dibiayai melalui 33 individu, dan masa masih berbaki 33 hari untuk mereka yang berminat membeli komputer ini untuk membiayai projek ini pada harga yang lebih mampu milik.
[sumber]Miniproca Kickstarter[/sumber]