Jika anda menggunakan Sonos, pasti ada rasa kecewa kerana fail media tidak boleh dimainkan menerusi sambungan Bluetooth. Perkara ini akan berubah secara berperingkat dari satu produk ke produk lain. Terbaru adalah pengganti Sonos Arc iaitu soundbar premium mereka dengan kod nama Lasso.

Lasso atau S45 dilihat menggunakan rekaan lebih kurang sama dengan Arc. Perubahan besar adalah rekaan dalaman di mana semua komponen telah direka semula. Salah satu teknologi yang mungkin akan diintegrasikan adalah daripada Mayht untuk komponen saiz kecil tanpa mengorbankan kualiti audio. Sokongan Dolby Atmos akan dikekalkan cuma kini akan mempunyai bass yang berdentum dengan lebih kencang.

Selain sokongan Bluetooth, soundbar baharu Sonos ini turut akan mempunyai mikrofon untuk kawalan suara yang boleh dibisukan dengan suis khas. Ia juga akan kekal menyokong sambungan bersama speaker Sonos lain untuk menjadikan satu sistem teater rumah stereo yang imersif. Sumber menyatakan soundbar baharu Sonos ini akan dijual pada harga $1200 iaitu sekitar RM5600.