Carian
Honor Memperkenalkan MagicBook Art 14 2024 Dengan CPU Intel Core Ultra
July 12, 2024 Amy Maizuraa

Pelancaran hari ini turut memperlihatkan Honor hadir dengan penawaran komputer riba baharu. Ianya dikenali sebagai MagicBook Art 14 2024 yang disertakan dengan cip lebih berkuasa. Melaluinya CPU sehingga Intel Core Ultra 7 155H digunakan bersama GPU Intel Arc Graphics. Ini digabungkan dengan pilihan memori 32GB LPDDR5X 7467MHz dan storan 1TB SSD. Kemudian bateri 60Wh disertakan pula boleh bertahan lebih 9 jam lamanya dengan sekali pengecasan penuh.

Kemasan tubuh juga cantik dengan ia kelihatan elegan dan mewah dalam masa yang sama. Skrin sesentuh OLED 14″ dengan resolusi 3.1K dan kadar segar semula 120Hz digunakan. Ia juga menawarkan kecerahan puncak 700 nits bersama , gamut warna DCI-P3 dengan 100% SRGB untuk pengalaman tontonan lebih memuaskan. Paling penting ialah komputer riba baharu ini juga mempunyai teknologi 4329Hz PWM Dimming yang tinggu untuk meminimumkan isu kerlipan pada skrin.

Terdapat juga ciri berasaskan AI disediakan yang termasuk AI Smart Search, AI Knowledge Q&A, AI Document Summary dan AI-Powered Audio pada komputer riba ini. Kemudian Honor melengkapkannya lagi dengan kamera web 1080P yang boleh dilekapkan secara magnetik pada komputer riba lalu menanggalkannya semula apabila tidak digunakan. Menurut Honor pendekatan itu dibuat untuk melindungi privasi pengguna dalam masa sama memenuhi keperluan pelbagai senario kerana boleh dilekapkan secara bebas di mana-mana bahagian.

Pelbagai pilihan I/O juga diberikan yang termasuk Thunderbolt 4, HDMI 2.1-TMDS*1, USB-A 3.2 Gen1, USB-C dan bicu audio 3.5mm. Komputer riba ini dijual dengan harga permulaan RMB 7799 (~RM 5,017), RMB 8499 (~RM5,468) dan RMB 9499 (~RM6,111) di China.

Komen