Jika anda membeli komputer ketika era cakera keras, proses defragmentation dilakukan sebulan sekali untuk memastikan data disusun serta disimpan dengan teratur oleh Windows serta mengesan bad sector lebih awal. Melakukan defrag ialah alasan kukuh untuk tidak melakukan sebarang kerja yang diperlukan dengan pantas. Walaupun ia proses yang mengambil masa yang lama, ia adalah nostalgia yang tidak boleh dilupakan pengguna PC yang sudah berusia.

Komputer moden dengan SSD tidak lagi perlu menjalani proses defrag. Tetapi jika anda seperti saya yang merindui era komputer klasik, laman defrag98 akan membolehkan anda menikmati proses defrag pada Windows 98 secara maya. Laman akan melakukan proses defrag secara maya lengkap dengan bunyi cakera keras sedang beroperasi dan kipas PC yang akan bertiup kuat.
Memang diakui SSD adalah lebih pantas berbanding cakera keras. Tetapi proses defrag memberikan sebab untuk pemilik PC berehat seketika tanpa perlu melakukan perkara lain. Bila kali terakhir anda rehat seketika untuk “merawat” PC yang digunakan? Pastinya sudah bertahun lamanya. Jika anda inginkan mesin cahaya masa ke tahun 1998, laman defrag98 adalah sehampir mungkin untuk menjadikan mesin Doraemon ini realiti.