Carian
Giliran Xiaomi 15 Pro Pula Untuk Menyokong Kamera Dengan Apertur Boleh Ubah
July 16, 2024 Fahim Zahar

Sokongan kamera dengan apertur boleh ubah mula dipopularkan oleh Samsung pada Galaxy S9. Selepas Samsung berhenti menggunakannya, ia kini popular di kalangan pengeluar peranti China seperti vivo, Huawei atau Xiaomi. Terbaru selepas teknologi ini dihadkan pada model Xiaomi Ultra, ia akan dibawakan kepada model Pro pula untuk Xiaomi 15.

Xiaomi 13 Pro

Xiaomi 15 Pro menurut Digital Chat Station akan mempunyai tiga kamera daripada sensor 50 Megapixel. Sensor utama untuk sudut lebar dikatakan adalah daripada OmniVision iaitu OV50K yang dikatakan adalah sensor keluaran mereka paling berkuasa. Ia menyokong rakaman video HDR 120/60 FPS, menyokong apertur boleh ubah, OIS dan juga kemampuan gambar malam yang baik. Xiaomi akan menggunakan apertur boleh ubah f/1.4 – f/2.5 berbanding pada Xiaomi 14 Ultra dengan f/1.4 – f/4.0.

Turut dikhabarkan, Xiaomi mungkin akan kekal bekerjasama dengan Sony untuk sensor IMX8 baharu khusus untuk telefoto 5x zum optikal. Lensa Leica Summilux turut akan dikekalkan pada peranti ini. Buat masa ini masih tiada khabar dan butiran lanjut mengenai kehadiran peranti ini. Kita mungkin akan melihat kewujudan siri Xiaomi 14T dahulu sebelum Xiaomi 15. Sama-sama kita nantikan.

Komen