Vivo nampaknya sekali lagi mengambil keputusan untuk tidak memasarkan peranti dengan skrin boleh lipat keluarannya iaitu X Fold3 Pro di Malaysia. Tidak diketahui sebabnya namun kami berpeluang mencubanya sendiri untuk tempoh yang singkat sewaktu lawatan ke ibu pejabat Vivo di Shenzhen China. Teruskan membaca artikel di bawah bagi melihat perubahan pada kali dan pengalaman ringkas kami mengenainya.
Lebih Nipis Dan Ringan
Menyentuh soal rekaan secara jelasnya ia mengekalkan elemen yang sama seperti generasi sebelum iaitu mempunyai rekaan seumpama buku dengan skrin yang dilipat ke dalam. Namun apa yang menarik ialah peranti kini lebih nipis dengan lebar hanya 5.3mm apabila dibuka dan ringan pada berat 236 gram – lebih ringan berbanding Fold X2 yang seberat 279 gram. Meskipun dalam keadaan dilipat ia tidak begitu tebal malahan mampu memberikan keselesaan yang baik.


Ciri-ciri seperti butang Alert slider yang pernah digunakan sejak generasi pertama masih disertakan pada sisi kiri peranti. Kemudian sebuah pengimbas cap jari bawah skrin juga masih digunakan pada skrin luar dan dalam. Perkara ini menjadikan peranti memiliki keunikan tersendiri dan lebih menonjol berbanding apa yang ditawarkan oleh pesaing setara.

Skrin utama bersaiz 8.03-inci dan skrin menegak sekunder sebesar 6.53″ masih digunakan. Kemudian kedua-duanya juga menyokong panel sejenis AMOLED yang beresolusi FHD+ dengan persembahan visual yang benar-benar cantik. Butiran cukup jelas dengan olahan warna juga penuh bermaya. Pengalaman menatal juga terasa lancar pada tetapan skrin 120Hz dan kesan lipatan masih ada namun tidak begitu jelas.

Seterusnya engsel yang digunakan mampu mengekalkan struktur tubuh dari terlipat secara tidak sengaja. Tiada bunyi aneh ketika skrin dibuka juga membuatkan kami tidak ragu-ragu untuk menggunakannya sepanjang lawatan ini. Peranti juga boleh melipat sepenuhnya tanpa ruang kosong yang ketara berhampiran engsel. Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan peranti. Seterusnya bahagian bawah pula terdapatnya kekisi audio, port USB-C dan talam SIM.

Peranti juga sebenarnya dilengkapi sistem audio stereo dengan satu lagi pembesar suara terbina di bahagian atas. Ia mampu menghasilkan bunyai yang lantang tetapi tidak begitu menyeronokkan disebabkan bass yang kurang menyerlah. Sekali lagi tiada pemancar merah atau sokongan kad mikro SD. Tetapi peranti mempunyai peningkatan menarik iaitu piawaian kalis air IPX8 secara rasmi. Ini bermaksud Samsung, Huawei dan Honor mempunyai pesaing yang perlu diberi perhatian.
Perkakasan Dalaman Berkuasa
Seperti mana-mana telefon pintar mercu 2024, Vivo X Fold3 Pri juga dikuasakan oleh cip Snapdragon 8 Gen 3. Unit diterima menawarkan padanan memori cukup besar dengan 16GB RAM yang menyokong RAM secara maya sebesar 16GB RAM terbina. Di samping storan dalaman 512GB UFS 4.0 yang sepatutnya memberikan pengalaman yang baik.

Kemudian X Fold3 telah diumumkan dengan OriginOS 4.0 pada versi China. Namun semakan menerusi laman web rasmi pelancar terkini FuntouchOS 14 digunakan pada versi global yang juga dibina berasaskan Android 14. Tiada sokongan Google PlayStore tetapi boleh dipasang secara sideload tanpa sebarang isu. Seperkara lagi kelebihan utama peranti versi China juga sering menawarkan kemaskini dengan cepat.

Seperti yang pernah dikatakan, OriginOS menawarkan antaramuka lebih cantik dan kemas berbanding FuntouchOS. Ia menggunakan warna yang berbeza untuk setiap kategori yang menjadikannya lebih teratur. Flex Mode juga disokong pada peranti dengan engsel yang stabil membolehkannya digunakan meskipun dilipat pada sudut 90 darjah.

Terdapat juga ciri berasaskan AI disediakan yang termasuk AI Note Assist yang boleh melakukan rumusan untuk nota panjang, dan mengubah nota ke format yang menggunakan bantuan AI. Seterusnya, AI Transcript Assist yang boleh menghasilkan transkipsi audio secara automatik dan AI Global Translation pula untuk melakukan terjemahan teks masa nyata.
Sistem Kamera Dipertingkat
Pada bahagian belakang terdapat bonggol kamera berbentuk bulat yang meletakkan sensor 50MP lebar, 64MP telefoto periskop (3X optikal/100X digital) dan 50MP ultra-lebar dengan OIS. Kamera swafoto 32MP juga digunakan pada kedua-dua belah skrin peranti luar dan dalam. Terdapatnya penjenamaan ZEISS secara jelas menunjukkan Vivo bekerjasama dengan syarikat itu untuk kebolehan kamera pada peranti. Pilihan tangkapan gambar pula boleh diambil pada nisbah 1:1, 4:3, 16:9 dan penuh.


Pelbagai mod terbina disediakan menerusi aplikasi kamera seperti Snapshort, Night, Portrait, Photo, Video dan More. Rakaman video yang menarik juga boleh dirakam dengan mudah menerusi fungsi Cinematic Portrait. Sebanyak lima panjang fokus turut ditawarkan iaitu 24mm, 35mm, 50mm, 85mm dan 100mm. Seterusnya tiga pilihan profil warna yang terdiri dengan Vivid, Textured dan ZEISS juga disediakan untuk penghasilan semula warna lebih menarik. Pada pengamatan kami, sensor dipadankan dengan baik yang membolehkan penghasilan semula gambar menggunakan kamera utama memberi hasil memuaskan. Berikut disertakan beberapa keping gambar yang sempat diambil:










Bateri Lebih Besar
Bateri 5,700mAh adalah lebih besar berbanding 4,800mAh yang digunakan pada X Fold2. Ia menarik kerana peranti mampu menawarkan kapasiti bateri lebih baik dalam sebuah tubuh peranti lebih nipis. Ia juga sejenis silikon-karbon yang dinaik-taraf dengan kemampuan lebih baik dalam pelbagai keadaan. Bagaimanapun sistem pengecasan disediakan menyokong output 100W berwayar dan nirwayar 50W.
Kesimpulan
Pengalaman kami dengan Vivo Fold3 Pro terlalu pendek untuk memberikan kata putus sama ada penggunaannya adalah baik ataupun tidak. Tambahan pula perisian pada unit yang diberi masih belum dioptimasikan sepenuhnya memberi kekangan lain untuk menentu dengan lebih lanjut. Bagaimanapun beberapa petanda positif bahawa Fold3 Pro tidak mengecewakan dari aspek reka bentuk yang boleh dilihat dengan jelas.

Tubuh lebih ringan dan nipis yang memberikan keselesan lebih baik. Skrin beresolusi tinggi cukup terang dan jelas juga membuatkan peranti selesa digunakan dalam pelbagai keadaan. Penggunaan cip pemprosesan terkini juga menjadi nilai tambah buat peranti. Selain itu Vivo juga dilihat semakin matang dalam peranti begini dengan menawarkan panarafan kalis air yang menjadi pelindungan tambahan. Pihak Vivo mengatakan peranti tidak akan ditawarkan secara rasmi di Malaysia.