Vivo X100 Ultra – Pengalaman Menggunakan Kamera Pada Peranti
Amy Maizuraa

Pengenalan Vivo X100 Ultra menjadikannya antara peranti berkuasa masa kini dalam kalangan telefon pintar mercu. Ia dilengkapi banyak inovasi canggih yang termasuk sistem kamera dengan prestasi yang luar biasa. Sekaligus menjadikannya pilihan menarik bagi pengguna moden yang mahukan kualiti imej yang unggul. Berpeluang menyertai lawatan ke ibu pejabat Vivo yang terletak di Shenzhen China pada 15 -18 Julai 2024 memberi pengalaman yang menarik. Ia bukan sekadar lawatan semata malahan kami diberi peluang mencuba peranti berkuasa ini untuk tempoh masa singkat. Namun perlu dikatakan bahawa artikel ini lebih tertumpu kepada keupayaan sistem kamera peranti yang juga disertakan dengan beberapa keping hasil gambar. Anda juga perlu tahu bahawa peranti ini tidak ditawarkan secara rasminya di Malaysia.

Sensor 200MP ISOCELL HP9 Dibangunkan Bersama Samsung
Salah satu ciri yang paling menonjol pada peranti adalah sistem kamera yang canggih. Kamera utama 1″ 50MP Sony LYT-900 digunakan dengan padanan sensor 1/1.4″ 200MP ISOCELL HP9 (telefoto) dan 50MP Sony LYT-600 (ultra-lebar). Vivo membangunkan sensor telefoto 200MP ini dengan kerjasama Samsung menjadikannya terbesar yang pernah digunakan pada sesebuah telefon pintar. Ia juga menawarkan bukaan aperature f/2.67 dan panjang fokus bersamaan 85mm. Selain turut mempunyai keupayaan zum optikal 3.7X dengan peningkatan sensitiviti cahaya sebanyak 20% dan mod makro telefoto yang boleh dizum sehingga 20X.






Melengkapinya lagi adalah penstabilan imej tahap CIPA 4.5 SLR yang bermakna kamera telah melepasi standard ujian CIPA tahap 4.5. Secara teorinya ia membolehkan anda menembak subjek dengan kelajuan pengatup 22.6 juta kali lebih perlahan tanpa penstabilan bersama imei cukup baik. Ia bagaimanapun masih bergantung pada keadaan semasa dan kestabilan tangan pengguna itu sendiri. Pelbagai faktor lain seperti panjang fokus kanta dan gerakan subjek juga boleh menjejaskan prestasi sebenar penstabilan imej.

Terdapat juga salutan ZEISS T* yang bantu meminimumkan pantulan seterusnya meningkatkan penerimaan cahaya dalam kamera utama untuk kejelasan yang maksimum. Khususnya sewaktu digunakan untuk tangkapan fotografi malam. Kemudian Vivo X100 Ultra juga menjadi antara peranti terawal dilengkapi algoritma BlueImage yang dibangunkan oleh Vivo sendiri. Ia dikatakan mampu menyelesaikan isu yang biasanya berlaku dalam fotogtafi seperti dedahan yang berlebihan dan kegagalan butiran dijaga dengan baik dalam pencahayaan rendah.



Selain itu peranti juga dikuasai oleh ISP terkini Vivo V3+ yang membolehkan kamera peranti merakam video potret 4K dengan fungsi suntingan pasca-penerbitan (yang juga dikenali sebagai pos-produksi) secara terbina. Di samping turut menyokong rakaman video dengan ciri Dolby Vision.
Telephoto Macro Memberi Pendekatan Berbeza
Vivo X100 Ultra juga dilengkapi sensor kamera ZEISS APO Floating Telephoto yang membolehkan gambar diambil dengan baik pada panjang fokus yang berbeza. Ciri ini dipanggil Super Macro dan boleh didapati dalam aplikasi kamera secara terus. Cubaan kami singkat kami mendapati kamera akan terus beralih ke panjang fokus 3.7mm dan mula mengenal pasti titik fokus subjek.

Ia kemudiannya mengambil masa beberapa saat bagi menghasilkan imej akhir dan kualitinya memuaskan. Subjek juga boleh diambil dengan jarak yang sangat dekat diantara 12-20cm tanpa kehilangan perincian yang ketara. Cuma isunya adalah kamera kadang kalanya dilihat gagal mengesan titik fokus yang betul. Sebagai pilihan terdapat juga kebolehan tangkapan dalam mod fokus yang manual sekiranya pengguna mahu mengubah kesan bokeh ikut kesesuaian masing-masing.


Gabungan Teknologi Daripada ZEISS
Keadaan bertambah baik apabila sistem kamera peranti juga dibangunkan dengan kerjasama ZEISS untuk kualiti imej yang bergred professional. Melaluinya Vivo telah menawarkan pengalaman potret terunggul melalui foto berkualiti tinggi yang lebih nyata dan tajam. Namun ia bukanlah kali pertama ZEISS terlibat dalam kerjasama ini malahan sudah ditawarkan sejak siri X60 lagi.



Sebanyak lima panjang fokus ditawarkan pada kamera peranti iaitu 24mm, 35mm, 50mm, 85mm dan 100mm. Diikuti juga sehingga tujuh kesan bokeh ZEISS untuk dipilih yang terdiri dengan Biotar, B-speed, Sonnar, Plannar, Distagon, Cine-flare dan Cinematic. Melengkapinya juga ialah kawalan kesan bokeh yang boleh dilaras mengikut kesesuaian pengguna sendiri. Sebagai pilihan pengguna juga boleh memilih kesan bokeh dengan panjang fokus yang telah dilaraskan secara langsung melalui ciri Portrait Lens Kit.



Selain itu terdapat juga ciri berasaskan AI disediakan seperti AI Visual dengan keupayaan mengubah latar belakang subjek menjadi suasana dalam empat musim berbeza yang termasuk Winter dan Spring. Beauty Mode terbina turut boleh digunakan dengan pelbagai pilihan suntingan seperti memutihkan kulit, mengecilkan hidung, mengubah tona warna kulit dan sebagainya.




Vivo turut memberikan fleksibiliti kepada pengguna untuk menyesuaikan profil warna mengikut keutamaan masing-masing. Misalnya seperti Vivid yang boleh meningkatkan kontras pada warna menjadi lebih terang. Seterusnya Textured juga boleh meningkatkan kontras gambar bersama efek vintaj yang menarik. Akhir sekali ZEISS pula pula dilihat boleh menyesuaikan warna, kontras, bayangan rona dan kecerahan bagi membuatkan gambar kelihatan semula jadi.
Ia juga mempunyai keupayaan AI di bahagian kamera sekali gus membolehkan pengguna mengedit imej dalam pelbagai cara. Namun perlu dimaklumkan juga bahawa kesemua ciri suntingan yang disediakan memerlukan sambungan internet bagi mengaksesnya. Turut menarik perhatian apabila imej turut boleh ditambahbaik menggunakan ciri AI dan Vibrant Bright Mode yang disediakan secara terbina.
Rakaman 8K + Cinematic Potrait Mode

Seterusnya peranti turut boleh merakam video maksimum 8K/30FPS menggunakan kamera di belakang. Video 4K yang menyokong 30/60/120FPS turut boleh dibuat dengan pilihan keupayaan zum diantara 0.6X (14mm), 1X (23mm), 2X (45mm) 3.7X (85mm) dan 10X (230mm). Sistem kameranya juga menyokong rakaman dengan ciri Dolby Vision yang mampu menjadikan hasil video mempunyai kontras warna yang terang bersama perincian lebih baik. Terdapat juga fungsi Cinematic Portrat Video yang seboleh-bolehnya membuatkan video kelihatan lebih menarik dengan sentuhan kreatif.

Fungsi-fungsi Khas Pada Kamera Peranti
Terdapat juga fungsi-fungsi khas lain disediakan yang bukan sahaja diyakini mampu meningkatkan pengalaman fotografi menjadi lebih seronok. Malahan menyumbang kepada capaian keseimbangan antara pemprosesan imej yang berkualiti dan mengoptimumkannya menjadi lebih menarik secara visual. Berikut disenaraikan fungsi-fungsi yang disediakan:
- Snapshot Mode – Ciri ini menggunakan gabungan algoritma pengesanan gerakan dan autofokus yang pantas sekaligus membolehkan kamera mengunci subjek yang bergerak pantas serta mengambil gambar tepat pada waktunya.
- 3D Photography – Untuk mencipta foto dan video berasaskan 3D yang boleh dinikmati pada peranti yang serasi seperti kaca mata pintar misalnya.

- Underwater Photography– Sesuai digunakan untuk aktiviti air seperti menyelam atau menaiki bot untuk menerokai keindahan pulau misalnya. Sarung telefon kalis air khusus diperlukan bagi melindungi peranti daripada dimasuki air. Boleh digunakan dengan kedalaman air sehingga 40 meter.
- Stage Mode – Direka khusus bagi meningkatkan pengalaman konsert atau acara hiburan lain dengan kualiti, dedahan, fokus dan rakaman audio yang dioptimumkan bersama keupayaan zum mencapai 30X.
- Humanistic Street Photography Mode – Berfungsi seakan Pro Mode untuk kawalan seperti SLR tetapi lebih retro. Ia mengintegrasikan semula antaramuka aplikasi kamera yang interaktif untuk memberikan pengalaman merakam imej landskap yang lebih cekap dan profesional. Ia menyediakan sehingga empat profil warna unik yang boleh merakam imej dengan cara lebih menarik.



Hasil Gambar Vivo X100 Ultra














