U Mobile : Data Pengguna Yang Tertiris Adalah Data Lama Dari Tahun 2014
Effi Saharudin
Semalam kami laporkan penggodam mendakwa mereka mempunyai data 4 juta pengguna U Mobile yang berjaya dicuri. Data ini kemudiannya dijual pada harga $5000 menerusi laman BreachForum. U Mobile mengeluarkan kenyataan mengatakan mereka sedang melakukan siasatan kesahihan data yang dijual serta bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Lewat malam semalam, kami menerima sebuah lagi kenyataan rasmi daripada U Mobile yang mengatakan data yang dijual adalah data lama dari tahun 2014. Ia adalah sebahagian daripada data telko yang tertiris secara besar-besaran dan dilaporkan kepada pihak berkuasa pada tahun 2017. Berikut ialah kenyataan rasmi daripada U Mobile.
U Mobile mengakui dakwaan pelanggaran data baru-baru ini. Siasatan awal kami menunjukkan bahawa tiada ketirisan terhadap sistem semasa kami. Daripada penilaian awal kami, data berkenaan disyaki daripada ketirisan data Malaysia 2014, yang sebelum ini dilaporkan kepada pihak berkuasa pada 2017.
Kami terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menangani perkara ini dan akan memberikan kemas kini setelah maklumat disahkan. Kami ingin meyakinkan pelanggan kami bahawa kami komited terhadap keselamatan data, dan akan terus meningkatkan keselamatan sistem kami untuk melindungi data mereka.