Apple Intelligence Tidak Dilatih Menggunakan Data YouTube Yang Diambil Tanpa Kebenaran
Fahim Zahar
Semalam Apple dan beberapa syarikat teknologi lain seperti Anthropic dan NVIDIA dilaporkan telah menggunakan data 170,000 video YouTube tanpa kebenaran untuk melatih model kecerdasan buatan (AI) mereka. Seta data ini disediakan oleh EleutherAI daripada fail transkrip video. Hari ini, 9to5Mac melaporkan Apple memberikan kenyataan Apple Intelligence tidak dilatih menggunakan data yang diambil tanpa kebenaran ini.

Data YouTube digunakan untuk melatih model AI OpenELM yang merupakan AI sumber terbuka yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja. Model ini hanya digunakan untuk kajian semata-mata dan tidak digunakan untuk menguasakan Apple Intelligence. Malah butiran kajian model ini turut boleh diakses di laman Machine Learning oleh Apple.
Dalam artikel Apple’s On-Device and Server Foundation Models, Apple menyatakan Apple Intelligence tidak dilatih dengan data peribadi dan juga data interaksi pengguna. Sebaliknya hanya dilatih dengan data yang telah dilesenkan, serta data-data terbuka. Apple juga dilaporkan menyatakan tidak akan membangunkan model baharu berasaskan OpenELM.
Apa pendapat anda adakah masih boleh diterima melatih model AI menggunakan data sari kata YouTube tanpa kebenaran hanya untuk model yang bersifat sumber terbuka?
[sumber] 9to5Mac [/sumber]