Sudah bertahun lamanya perkhidmatan media sosial didapati memberi kesan buruk terhadap pengguna muda. Malah Instagram sehingga menyediakan panduan untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental serta turut pernah bekerjasama dengan NGO tempatan. Terbaru, Meta mula membuka data Instagram untuk penyelidik gunakan sebagai sumber kajian kesihatan mental kesan penggunaan media sosial terhadap remaja.

Meta bekerjasama dengan Center for Open Science. Data yang diakses adalah untuk penggunaan sepanjang enam bulan dan data yang diakses penyelidik turut lagi menjaga privasi setiap pengguna. Meta juga akan memilih sendiri penyelidik mana yang layak dan setiap kajian Meta tidak akan terlibat. Penyelidik turut akan mengumpul data sendiri dengan meminta pengguna Instagram menyertai program kajian mereka dengan kebenaran ibu bapa.

Data yang dikumpul adalah akaun yang pengguna remaja ikuti, berapa lama mereka menggunakan Instagram, tetapan akaun dan banyak lagi.
- Perbandingan Kekuatan: Menentukan hubungan positif atau negatif antara pengguna dan penggunaan Instagram demi kesejahteraan sosial atau emosi remaja.
- Perbandingan Kebangsaan atau Wilayah: Membandingkan kesan Instagram di antara negara-negara atau wilayah terhadap kesejahteraan sosial atau emosi remaja.
- Pemahaman Sosial, Budaya, dan Konteks: Menyelidik hubungan antara penggunaan Instagram dan kesejahteraan remaja dalam kumpulan populasi yang berbeza.
- Penjelasan untuk Hubungan yang Diperhatikan: Menyelidik kenapa statistik penggunaan Instagram oleh remaja yang memberi kesan positif atau negatif terhadap diri perlu diberi perhatian.
Tahun lepas Meta turut disaman kerana aduan platform media sosial mereka menyumbang masalah kesihatan mental kepada pengguna remaja. Beberapa bulan lepas, Menteri Kementerian Komunikasi Fahmi Fadzil mengingatkan ibu bapa bahawa kanak-kanak bawah 13 tahun tidak patut dibenarkan memiliki akaun media sosial. Apa pendapat anda mengenai perkara ini?