Carian
Micron Memperlihatkan SSD Crucial P310 Untuk Konsol Mudah Alih Dan PC Kecil Berprestasi Tinggi
July 18, 2024 Nazrin

Micron, syarikat pembuat komponen memori untuk tujuan RAM dan storan baru-baru ini telah memperlihatkan penawaran terbaru mereka, iaitu storan SSD Crucial P310, sebuah SSD PCIe 4.0 bersaiz padat yang hadir menggunakan rekabentuk padat yang boleh dimuatkan dalam peranti-peranti komputer bersaiz kecil.

Seperti yang dikatakan, Crucial P310 hadir dengan rekaan serba padat, menggunakan rekabentuk M.2 2230 yang jauh lebih pendek berbanding dengan rekaan SSD M.2 lain seperti 2280 dan 2260, dimana dua digit terakhir menandakan panjang storan tersebut.

SSD Crucial P310 ini hadir dalam pilihan saiz 1TB dan juga 2TB dan mempunyai kelajuan pembacaan data sepantas 7100MB/s dan cukup cekap sekali dalam penggunaan kuasa, dimana ia sesuai digunakan dalam peranti-peranti bersaiz kecil.

Malah, Crucial mengatakan bahawa SSD P310 ini adalah 40 peratus lebih pantas apabila dibandingkan dengan SSD PCIe 4.0 dengan rekabentuk sama dalam pasaran sekarang. Mereka juga mengatakan bahawa storan ini boleh dipadankan bersama-sama dengan konsol PC ASUS ROG Ally/Ally X dan juga Steam Deck tanpa masalah.

Ia juga boleh digunakan didalam sebarang komputer riba padat dan PC kecil yang menyokong rekabentuk SSD M.2 2230.

Buat masa ini, Crucial P310 ini dijual di pasaran-pasaran terpilih pada harga $171.99 untuk model 1TB dan $264.99 untuk model 2TB. Setakat ini ia tidak diketahui lagi bilakah SSD ini akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan.

Komen