Taiwan Mahu Bekerjasama Dengan Malaysia Dalam Pembangunan Industri Cip Semikonduktor
Nazrin
Salah satu daripada persamaan terbesar yang boleh diperlihatkan di antara Malaysia dan Taiwan ialah bagaimana kedua-dua negara ini adalah penting dalam industri pembangunan cip semikonduktor. Dimana Taiwan cukup terkenal dengan syarikat-syarikat yang membangunkan dan mengilang komponen tersebut, syarikat-syarikat di Malaysia dikenali untuk menguji dan mempakejkan cip-cip ini.
Ia telah dilaporkan bahawa Taiwan mahu bekerjasama bersama-sama Malaysia dalam industri ini, dimana kedua-dua negara boleh memanfaatkan kepakaran masing-masing dalam industri ini.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Taiwan, Tien Chung-kwang baru-baru ini mengatakan bahawa kerjasama dengan Malaysia dilihat dapat memanfaatkan semua pihak, dimana rantaian bekalan cip semikonduktor dapat diselaraskan untuk memanfaatkan kedua-dua negara.
Malaysia dan Taiwan kedua-duanya boleh mempelajari teknik-teknik baru, dimana Malaysia boleh mengembangkan kepakaran dalam bidang pengeluaran cip semikonduktor, manakala Taiwan pula boleh mempercekapkan lagi proses ujian dan pembungkusan cip pemprosesan.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng mengatakan bahawa beliau juga telah berbincang dengan beberapa pihak di dalam kerajaan Taiwan, dan mengatakan bahawa dengan kerjasama ini, Malaysia juga boleh memperkenalkan kursus kejuruteraan baru khusus untuk pembangunan teknologi cip semikonduktor, yang akan menambahkan lagi jumlah pekerja profesional dan berpendapatan tinggi di negara ini.
Beliau juga mengatakan bahawa walaupun ada rakyat Malaysia yang dilihat berhijrah ke negara-negara seperti Taiwan dan Jepun untuk peluang pekerjaan yang lebih lumayan, dengan perkembangan dalam sektor ini di Malaysia, beliau yakin bahawa mereka boleh kembali untuk merancakkan lagi sektor semikonduktor tempatan dengan kepakaran mereka.
[sumber]New Straits Times[/sumber]