Beberapa hari lepas, peranti mercu baharu Google telah tertiris ia adalah telefon lipat generasi kedua mereka yang mungkin akan digelar sebagai Pixel 9 Pro Fold. Google menyertakan terus telefon lipat mereka dalam keluarga Pixel yang sama dan Google telah mengesahkan kewujudan peranti ini dalam perkongsian X baharu.
Pixel 9 Pro Fold turut akan menyertakan integrasi Gemini secara mendalam. Kemudian rekaan peranti turut telah berubah kerana panel belakang tiada lagi bar kamera, sebaliknya telah tukar kepada modul kamera biasa dengan setiap sensor disusun dalam dua lensa bujur. Bentuk peranti turut kelihatan lebih membulat seakan gabungan rekaan Pixel 8 dan Pixel 8a. Pixel 9 Pro Fold akan dilancarkan pada acara Made by Google, 13 Ogos akan datang.

Di acara ini Pixel 9 dan Pixel 9 Pro serta Pixel Watch 3 turut akan dilancarkan. Android 15 versi stabil turut akan diperkenalkan di acara ini sebelum kemas kini diedarkan kepada peranti Android lain. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut mengenai Pixel 9 Pro Fold untuk ketahui adakah ini telefon lipat yang dinantikan ramai.