Xiaomi Watch S4 Sport Hadir Dengan Teknologi Suunto
Effi Saharudin
Di kalangan peminat sukan, jam tangan keluaran Suunto menjadi pilihan kerana sensor yang dikatakan lebih tepat serta cir penjejakan kesihatan yang lebih menyeluruh berbanding jam tangan pintar lain. Semalam Xiaomi Watch S4 Sport dilancarkan secara rasmi dengan ia dilengkapi teknologi yang dibangunkan oleh Suunto.

Jam tangan pintar premium ini adalah dari jenis tahan lasak dilengkapi skrin bulat 1.43” OLED dengan keterangan puncak 2,200 dan kaca nilam. Ia hadir dengan pilihan empat tali jam diperbuat daripada bahan fluoroelastomer, silikon, bersulam dan titanium. Dengan tubuh titanium, Watch S4 Sport melepasi piawaian EN13319 yang membolehkan ia dibawa menyelam sehingga kedalaman 40 meter.

Sensor nadi dan oksigen dalam darah dikatakan mempunyai ketepatan sehingga 97.2%. Sistem GPS boleh menjejak larian serta menawarkan jalan kembali sekiranya pemilik tersesat. Teknologi Suunto yang disertakan menganalisa aktiviti sukan yang dilakukan sebelum kemudian memberikan saranan kepada pemilik.
Bateri sebesar 586 mAh memberikan hayat penggunaan sehingga 15 hari dalam mod biasa dan 26 jam dengan penjejakan GPS dan kesihatan sepanjang masa. Sokongan eSIM membolehkan jam melakukan panggilan telefon, menerima notifikasi, menstrim muzik dan memuat turun peta. Harga jualan Xiaomi Watch S4 Sport dijual pada harga RMB 1999 (~RM 1288) seutas.