JuiceUP kini mengumumkan kerjasama dengan sejumlah penyedia perkhidmatan pengecasan, sekaligus menawarkan kebolehan untuk menerima pembayaran berasaskan kad kredit atau debit pada stesen pengecasan kenderaan elektrik. Ini sekaligus lebih memudahkan berbanding keperluan memuat-turun aplikasi dan sebagainya.

Melalui integrasi JuiceUP, pengguna hanya perlu tap kad kredit atau debit pada terminal di stesen pengecasan berkenaan, dan seterusnya memulakan pengecasan.
Ketika pengenalan ini, JuiceUP mengumumkan kerjasama dengan sejumlah pihak, termasuk CUCUK, JusEV, TNB Electron, dan EVPower. Pengenalan integrasi ini dijangka akan dilakukan secara berperingkat melalui penyedia perkhidmatan pengecasan ini.

JuiceUP turut menyasarkan 80% rangkaian pengecasan kenderaan elektrik ini dilengkapi dengan sokongan pembayaran secara kad kredit atau debit menjelang 2025 kelak. Dengan lebih banyak kenderaan elektrik di jalan raya, disamping kepelbagaian penyedia perkhidmatan pengecasan elektrik ini, penggunaan kad kredit dan debit akan memudahkan lagi urusan pengecasan tanpa perlu memuat-turun pelbagai aplikasi pada peranti.