Aplikasi Samsung Messages Tidak Lagi Akan Dipasang Pada Peranti Samsung – Google Messages Pengganti
Fahim Zahar
Hubungan rapat antara Samsung dan Google adalah sangat dahsyat sehinggakan Galaxy S24 Ultra itu adalah peranti alternatif terbaik Pixel untuk pasaran global. Samsung adalah peranti kedua selepas Pixel yang menerima pelbagai ciri dan fungsi eksklusif daripada Google. Terbaru, peranti Samsung tidak lagi akan menyertakan aplikasi Samsung Messages kerana ditukar kepada Google Messages.

Peranti Samsung di Malaysia sudah lebih setahun menjadikan aplikasi Google Message sebagai aplikasi pemesejan lalai untuk SMS dan RCS. Pada masa yang sama aplikasi Samsung Message masih lagi terpasang. Di Amerika Syarikat, bermula dengan Galaxy Z Fold6 dan Galaxy Z Flip6 aplikasi Samsung Message tidak lagi akan sedia terpasang dan Google Message akan menjadi pengganti sebagai aplikasi pemesejan lalai.
Aplikasi Samsung Message masih disertakan dalam Galaxy Store dengan beberapa ciri dan fungsi akan dibuang. Ia sesuai kepada mereka yang sekadar ingin aplikasi pemesejan ringkas untuk SMS kod sementara dan kod pengesahan.

Dalam semakan kami, aplikasi Samsung Message tidak lagi ditawarkan pada Galaxy Store Malaysia dan pada Galaxy Z Flip6 walaupun aplikasi masih boleh digunakan – pada Galaxy Store ia memaparkan mesej “Kandungan tidak lagi disokong pada peranti anda. Sila hubungi pengeluar kandungan untuk bila peranti anda akan disokong.” Ini bermakna jika anda terbuang aplikasi ini, tiada lagi cara pemasangan rasmi selain muat sisi APK.
[sumber] X – @MaxWinebach [/sumber]