Perkembangan terkini mendedahkan bahawa peranti baharu Honor 200 Lite bakal tiba di Malaysia. Ia merupakan peranti kelas pertengahan dengan fokus terhadap tubuh tahan lasak dan kamera 108MP. Laman pengiklanan rasmi juga sedia diterbitkan dengan ciri utama yang turut dikongsi. Ia termasuklah binaan yang ergonomik melalui padanan tubuh sepenuhnya rata bersama sisi yang membulat.

Kemudian cip MediaTek Dimensity 6080 digunakan sebagai tunjang utama dengan gabungan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB. Peranti juga mempunyai tri-kamera di belakang dengan tetapan 108MP + 5MP (lebar/kedalaman) + 2MP (makro). Diikuti pula kamera swafoto 50MP (f/2.1) yang diletakkan dalam lubang kecil di panel hadapan.

Bateri 4,500 mAh juga disediakan dengan pengecasan pantas 35W dan boleh dicas melalui port USB-C. Lain-lain spesifikasi termasuklah pengimbas cap jari sisi, bluetooth 5.1 dan menjalankan perisian terkini MagicOS 8.0 (berasaskan Android 14). Persoalan kini tertumpu kepada harga jualan peranti yang sudah semestinya diketahui selepas dilancarkan kelak.