ASUS Akan Memperkenalkan Kemaskini Kepada Perisian Armory Crate Untuk ROG Ally Dan Ally X
Nazrin
Pra-tempahan untuk konsol PC ASUS ROG Ally X sudahpun dibuka, dan ia dijangka akan tiba sekitar bulan Ogos 2024 kelak. Bersama dengan ini, ASUS nampaknya akan memperkenalkan kemaskini kepada perisian ROG Armory Crate Special Edition untuk kedua-dua konsol mereka.
Kemaskini ini, yang dinamakan Armory Crate Special Edition (ACSE) 1.5, dilihat hadir dengan perubahan kepada antaramuka perisian, sebagai contoh, antaramuka yang lebih mudah untuk diakses dan ditatal menggunakan kayu ria analog, mod cerah, dan tab My Favorites yang menyenaraikan permainan-permainan yang paling sering dimainkan.

Ciri Game Profile juga akan memperlihatkan kemaskini dimana setiap permainan komputer yang dipasang akan hadir dengan profil tetapan mereka sendiri, dan tidak lagi terhad kepada profil-profil mod yang ditawarkan ROG Ally sebelum ini.
Dengan ACSE 1.5 ini juga, semua kemaskini peranti, termasuklah kemaskini BIOS akan dilakukan secara terus melalui aplikasi tersebut untuk memudahkan kemaskini peranti. Bukan itu sahaja, kalibrasi kayu ria juga kini boleh dilakukan secara terus pada Armory Crate SE.
ASUS mengatakan bahawa kemaskini ACSE 1.5 terbaru ini sudahpun boleh dimuat-turun pada konsol ASUS ROG Ally yang asal, dan akan diperkenalkan pada Ally X apabila ia dilancarkan kelak.
[sumber]ASUS ROG[/sumber]