Carian
Ulasan Sony Xperia 1 VI – Adakah Harga Premium Berbaloi?
July 24, 2024 Rihhadatul Aisy

Pada 10 Julai 2024 yang lalu, Sony baru sahaja melancarkan sebuah model telefon pintar yang terbaru iaitu Sony Xperia 1 VI dengan penawaran harga RM6499 sekaligus meletakkannya sebaris dengan peranti kelas mercu yang ada di pasaran sekarang malah harga ini dilihat lebih mahal dari model yang sebelum ini. Persoalannya adakah penawaran harga ini setanding dan berbaloi dengan apa yang ditawarkan?. Jawapannya akan kami jawab dan kongsikan berdasarkan pengalaman menggunakannya sebagai peranti utama harian dalam tempoh hampir 2 minggu.

SPESIFIKASI

Sony Xperia 1 VI
Skrin6.5″  LTPO OLED, 120Hz, 2340 x 1080 pixel,
HDR BT.2020
Corning Gorilla Glass Victus 2
PemprosesSnapdragon 8 Gen 3 (4nm)
Cip1×3.3 GHz Cortex-X4
3×3.2 GHz Cortex-A720
2×3.0 GHz Cortex-A720
2×2.3 GHz Cortex-A520
Cip GrafikAdreno 750
RAM12GB RAM
Muatan Dalaman256/512GB  UFS 4.0
Kamera Utama48 MP, f/1.9 (Lebar)
12 MP, f/2.3 (Telefoto)
12 MP, F/2.2 (Ultra-lebar) 
Kamera Swafoto12MP f/2.0
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 30W
Nirwayar 15W
SIM/TelefoniDwi Nano/5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirIP65/IP68
Sistem ImbasanPengimbas cap jari
Harga JualanRM6,499 (12/256GB)

SKRIN

Tidak jauh berbeza dengan rekaan model sebelum ini, Sony masih mengekalkan rekaan skrin memanjang dan tirus pada model Xperia 1 VI ini. Skrinnya hadir dengan saiz 6.5” LTPO OLED bersama dengan tahap kadar segar semula 120Hz. Walau bagaimanapun, berbeza dengan sebelum ini, kebolehan resolusi paparannya telah menurun kepada resolusi FHD dan bukan lagi 4K seperti model sebelum ini.

Namun, ciri resolusi yang telah dikorbankan ini bukanlah sesuatu yang memberi kesan besar kepada kualiti paparannya. Sepanjang tempoh ujian, pengalaman menonton video dengan resolusi tinggi tetap sahaja baik, jelas dan terang. Selain itu, paparan grafik untuk permua juga tiada yang ingin kami adukan.

Dari segi rekaan bezel pula, kami yakin rata-rata peminat model Sony Xperia tidak begitu mengendahkan mengenai isu ketebalan bezel pada peranti. Sony masih mengekalkan bezel yang tebal pada rekaan skrin peranti khususnya pada bahagian atas dan bawah. Sistem haptik padanya juga adalah salah satu perkara yang kami suka kerana getarannya terasa semula jadi dan langsung tidak menjengkelkan.

BIOMETRI

Ciri keselamatan dan privasi pada peranti hadir dengan kebolehan imbasan cap jari yang terletak pada butang kuasa di bahagian sisi peranti. Walau bagaimanapun, ciri imbasan wajah pula tidak tersedia dan kami rasakan tidak wajar sedangkan ia merupakan sebuah peranti kelas mercu. Ini kerana, kebanyakan peranti bajet dan kelas pertengahan di pasaran sekarang  juga sudah mula memberikan fungsi ini.

REKAAN

Melihat kepada rekaan peranti ini kami boleh katakan bahawa Sony cukup setia dengan bentuk rekaannya yang tidak jauh beza dengan model-model sebelum ini. Sekali pandang, kami sudah meneka ia adalah sebuah telefon pintar Sony dengan reka bentuknya yang tidak begitu banyak berubah dan agak berbeza dengan rekaan rata-rata telefon pintar kini. Meskipun begitu, kami rasakan rekaannya cukup kemas dan tampak kukuh. Peranti ini hadir dengan persediaan dua warna untuk pasaran Malaysia iaitu warna Black dan Khaki Green.

Panel tubuh belakangnya hadir dengan binaan yang bertekstur dan menjadikannya terasa cukup selesa dengan genggaman juga terasa lebih selamat. Rekaan panel belakang seperti ini menjadikan kami langsung tidak berhadapan dengan masalah permukaan kotor dengan kesan cap jari seperti yang dihadapi pada tubuh peranti-peranti yang pernah kami uji sebelum ini.

Bingkai sisi peranti pula diperbuat daripada logam dengan alur V berukir untuk kemasan yang premium dan juga teguh bagi cengkaman yang lebih baik khususnya apabila digunakan dengan sebelah tangan. Terdapat juga tiga bonggol kamera pada bahagian belakang bersama binaan asas logam dan disusun memanjang ke bawah bersama dengan lampu LED flash.

Semua butang fizikal pula diletakkan di bahagian sisi kanan peranti seperti butang kuasa yang merangkap sebagai pengimbas cap jari, butang laras suara dan juga butang pengatup kamera fizikal. Kesemua butang sedap ditekan dan berfungsi dengan baik tanpa sebarang masalah.

PENGGUNAAN DAN PERISIAN

Sistem operasi yang digunakan ialah Xperia UI yang kami rasakan mudah untuk digunakan serta ringkas dan bersih dari sebarang aplikasi gendut yang tidak diperlukan dan terdapat beberapa aplikasi ciptaan Sony tersendiri. Secara keseluruhan pengalaman menggunakan peranti terasa sangat responsif dan lancar tanpa sebarang isu. Memainkan permua dengan paparan resolusi tinggi dan secara berulang-ulang dalam tempoh jangka masa agak lama juga tiada masalah tanpa perlu berdepan dengan isu seperti lengah masa atau tersekat-sekat.

Bagi ruang simpanan pula, Sony Xperia 1 VI ini dilengkapi dengan saiz memori 12GB RAM bersama saiz storan 256GB , namun tiada memori maya yang tersedia. Kad mikroSD untuk mengembangkan storan boleh dilakukan untuk ruang simpanan yang lebih besar sehingga 1TB. Pengalaman memuat turun aplikasi dapat dilakukan tanpa sebarang isu.

PENANDA ARAS

Berikut adalah skor daripada hasil ujian penanda aras yang dicatatkan oleh Sony Xperia 1 VI menggunakan Geekbench 6, Antutu 3D dan 3D Mark. Perbandingan dilakukan dengan beberapa peranti pesaing yang sesuai.

Antutu 3D Benchmark

  • Sony Xperia 1 VI – 1,608,889
  • Xiaomi 14 Ultra – 2,000,434
  • Samsung Galaxy S24 Ultra – 1,768,765

Geekbench 6

  • Sony Xperia 1 VI – 2137/6408
  • Xiaomi 14 Ultra – 2221/6632
  • Samsung Galaxy S24 Ultra – 2278/7016

WildLife Extreme

  • Sony Xperia 1 VI – 4910
  • Xiaomi 14 Ultra – 4717
  • Samsung Galaxy S24 Ultra – 4657

Sony Xperia 1 Vi beroperasi sebaik peranti mercu lain dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 dengan hasil ujian penanda aras yang menunjukkan tidak begitu banyak perbezaan. Kesemua ciri dan fungsi tersedia dapat digunakan dengan sangat lancar dan pantas tanpa sebarang masalah.

TELEFONI DAN GPS

Rangkaian telefoni 5G yang tersedia tidak memiliki sebarang ralat dengan sokongan WiFi 7 yang cukup pantas dan stabil. Sepanjang penggunaan, tiada masalah sambungan rangkaian yang dihadapi. Pengalaman penggunaan GPS juga menunjukkan kebolehan mengesan kedudukan dengan baik dan tepat.

KAMERA

Sony Xperia 1 Vi ini dilengkapi dengan sistem kamera 48MP (lebar),12MP (telefoto) dan 12MP (ultra-lebar) bersama persediaan kamera hadapan 12MP. Kamera Sony Xperia 1 VI ini kami katakan dengan jujur bahawa ia mungkin bukan apa yang dimahukan oleh kebanyakan pengguna. Persediaan kameranya dilihat lebih khusus untuk mereka yang mahu melakukan tetapan kamera mengikut kesesuaian pada setiap tangkapan gambar.

Untuk tangkapan gambar dengan tetapan biasa memperlihatkan hasil gambar yang kami rasakan kurang memuaskan bahkan adakalanya agak mengecewakan bagi sebuah kamera yang menggunakan kepakaran fotografi kamera Sony Alpha.

Hasil gambar dengan tetapan asas ini memperlihatkan gambar dengan warna yang pudar, keperincian lembut dan pencahayaan yang tidak konsisten. Hasil gambar ultra lebar nampak gelap meskipun dalam pencahayaan yang cukup.

Tangkapan gambar zum pula memberikan hasil yang lebih lembut dan pudar bahkan dalam beberapa keadaan ciri zum-nya juga menyebabkan hasil tangkapan menjadi kabur. Rakaman video pula boleh dilakukan pada resolusi HD dan 4K dengan 120fps yang agak baik.

BATERI

Jangka hayat bateri kami rasakan mampu bertahan agak lama bersama dengan saiz kapasiti bateri yang juga besar iaitu 5000mAh. Namun proses pengecasan adalah agak perlahan dengan sokongan pengecasan berwayar hanya 30W dan nirwayar 15W. Kepala pengecasan dan kabel pula tidak disertakan bersama dalam kotak.

Menggunakan peranti dalam corak penggunaan biasa menjadikan peranti mampu bertahan sepanjang hari iaitu dari pagi sebelum waktu pejabat hingga sebelum waktu tidur sekitar jam 12 malam. Biasanya kami hanya perlu mengecas peranti sekali sahaja dalam sehari.

AUDIO

Tiada kekurangan yang hendak saya keluhkan mengenai sistem audionya kerana secara keseluruhan ia berfungsi dengan cukup baik. Bunyi yang dihasilkan adalah lantang, jelas dan tidak pecah. Muzik yang dimainkan menerusi Spotify kedengaran rata menjadikan pengalaman mendengar muzik, menonton video dan memainkan permua menggunakan peranti adalah cukup mengujakan. Peranti ini juga unik dalam kategori mercu kerana masih mempunyai bicu audio 3.5mm.

PERANTI PESAING

Sony Xperia 1 VISamsung Galaxy S24 UltraXiaomi 14 Ultra
6.5″  LTPO OLED, 120Hz2340 x 1080 pixel, HDR6.8″ Dynamic AMOLED 2X, 2800 x 1260,120Hz, HDR10+6.73″ LTPO AMOLED, 1440 x 3200, 120Hz, Dolby Vision
Snapdragon 8 Gen 3 (4nm)
1×3.3 GHz Cortex-X4
3×3.2 GHz Cortex-A720
2×3.0 GHz Cortex-A720
2×2.3 GHz Cortex-A520
Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy (4nm)
1 x 3.39 GHz Cortex-X4
3 x 3.1 GHz Cortex-A720
2 x 2.9 GHz Cortex-A720
2 x 2.2 GHz Cortex-A520
Snapdragon 8 Gen 3 (4nm)
1 x 3.3 GHz Cortex-X4
3 x 3.2 GHz Cortex-A720
2 x 3.0 GHz Cortex-A720
2 x 2.3 GHz Cortex-A520
Adreno 750Adreno 750Adreno 750
12GB12GB LPDDR5X16GB LPDDR5X
256  UFS 4.0256/512/1000GB UFS 4.0512 UFS 4.0
Kamera Utama 48 MP, f/1.9(Lebar)
12 MP, f/2.3 (Telefoto)
12MP, F/2.2 (Ultra-lebar) 
Kamera Utama 200MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Lebar)
50MP f/3.4, OIS, 5x Zum Optikal (Periskop Telefoto)
10MP f/2.4, OIS 3x Zum Optikal (Telefoto)
Kamera Utama 50MP f/1.6-f/4.0, 1″, OIS (Sudut Lebar)
50MP f/1.8 (Ultra Lebar)
50MP f/2.5, OIS, 5x Zum Optikal (Periskop Telefoto)
50MP f/1.8, OIS 3.2x Zum Optikal (Telefoto)
12MP f/2.0Kamera Hadapan12-MP f/2.2Kamera Hadapan32-MP f/2.0
IP65/IP68IP68IP68
Bicu Audio 3.5mmTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAhBerwayar 30WNirwayar 15W5000 mAhBerwayar 45WNirwayar 15W5000 mAhBerwayar 90WNirwayar 80W
RM6,499 (12/256GB)RM 6,299 (16/256 GB)
RM 6,799 (16/512 GB)
RM 7,799 (16/1000 GB)
RM 5,199 (16/512 GB)

APA DALAM KOTAK?

Berikut adalah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian:-


1x Sony Xperia 1 V
1x Manual

KESIMPULAN

Secara keseluruhan, kami rasakan Sony Xperia 1 VI ini adalah sebuah telefon pintar dengan prestasi yang cemerlang dan lancar. Persediaan bateri yang besar, reka bentuk unik dan berkualiti serta kemampuan audio yang mengagumkan cukup menambat hati.

Cuma seperti yang telah kami katakan dalam ulasan di atas, fungsi kameranya mungkin bukan apa yang dimahukan oleh kebanyakan pengguna hari ini dimana ia lebih tertumpu kepada sistem tetapan kamera yang perlu diubahsuai pada setiap kali tangkapan gambar hendak dibuat.

Fungsi sedemikian mungkin apa yang dimahukan oleh professional tapi tidak untuk majoriti pengguna yang mahukan hasil gambar yang cantik hanya dengan menekan satu butang. Harga jualan RM6499 juga dirasakan agak mahal tanpa banyak aksesori yang tersedia bersama dalam kotak.

Pro

  • Reka bentuk yang unik dan praktikal.
  • Prestasi cip tahap mercu.
  • Terdapat Bicu audio 3.5mm.
  • Sokongan kad Mikro SD.
  • Jangka hayat bateri lama.
  • Sistem audio yang baik.

Kontra

  • Harga premium.
  • Kamera dengan tetapan asas yang mengecewakan.
  • Tiada kabel dan kepala pengecasan dalam kotak pembelian.
  • Sokongan pengecasan hanya 30W.


Komen