Carian
NVIDIA Dilaporkan Sedang Membina Cip AI Untuk Pasaran China Berdasarkan Pemproses Blackwell
July 22, 2024 Nazrin

Ia tidak dapat disangkal lagi bahawa NVIDIA merupakan syarikat paling penting dalam pemesatan teknologi kecerdasan buatan di dunia sekarang. Siri cip pemprosesan NVIDIA A100 khususnya digunakan oleh pelbagai syarikat-syarikat pembangun AI seperti OpenAI untuk mempercepatkan pembangunan dan penggunaan AI ChatGPT mereka.

Setelah memperkenalkan siri kad grafik NVIDIA RTX B200 pada awal tahun ini, baru-baru ini ia telah dilaporkan bahawa NVIDIA akan membangunkan kad grafik pemprosesan AI khusus untuk pasaran China yang akan dinamakan NVIDIA RTX B20.

Sama seperti kad grafik pemprosesan AI yang telah mereka bangunkan sebelum ini untuk pasaran China, kad grafik ini dilihat akan hadir dengan beberapa ciri dan nilai prestasi yang diturunkan untuk memastikan bahawa ia tidak melanggar sebarang sekatan teknologi yang dikenakan oleh syarikat-syarikat yang menjual komponen komputer kepada China.

Perkara ini dilaporkan oleh Reuters, yang mengatakan bahawa butiran lanjut mengenai kad grafik ini tidak diketahui lagi, kerana proses rundingan masih lagi sedang berjalan. Apa yang diketahui buat masa ini ialah NVIDIA akan bekerjasama dengan Inspur, syarikat pengedar komponen NVIDIA di China untuk menjual kad-kad grafik ini.

Ia tidak mengejutkan untuk melihat mengapa NVIDIA sanggup membangunkan kad grafik khusus untuk pasaran China, kerana negara tersebut bertanggungjawab untuk sejumlah besar hasil pendapatan syarikat tersebut, walaupun ia telah dilihat turun dengan agak mendadak kerana sekatan teknologi yang dikenakan keatas negara tersebut.

Setakat ini ia tidak diketahui lagi bilakah NVIDIA akan memperlihatkan cip NVIDIA Blackwell RTX B20 ini untuk pusat data di negara tersebut.

Komen