Carian
WhatsApp Menguji Ciri “Nearby Share” – Kongsi Fail iPhone Ke iPhone Tanpa Internet Seakan AirDrop
July 23, 2024 Fahim Zahar

Populariti AirDrop oleh Apple sebagai ciri perkongsian fail pantas akhirnya dijawab oleh banyak pengeluar peranti dengan masing-masing mempunyai iterasi tersendiri. Google dan Samsung dengan Quick Share, Microsoft dengan Nearby sharing pada Windows 11, Xiaomi dengan Mi Share dan banyak lagi. Terbaru, WhatsApp pun ingin menawarkan ciri perkongsian fail lebih kurang sama.

Ciri ini dilihat sedang diuji pada aplikasi WhatsApp untuk iPhone. Ciri ini dipanggil sebagai Nearby share dan ia turut berfungsi seakan AirDrop kerana fail seperti dokumen, gambar, video dan lain-lain boleh dikongsi dengan pantas tanpa sebarang akses Internet. Cuma, versi WhatsApp ini tidak menggunakan teknologi mengesan pengguna WhatsApp berdekatan kerana memerlukan pengguna mengimbas kod QR sebelum mula berkongsi.

Buat masa ini, ciri ini masih lagi dalam peringkat ujian dan tidak pasti bila ia akan diberikan kepada semua pengguna. Diharapkan, ciri ini akan menyokong rentas-platform iOS dan Android agar mereka yang tidak mengenali ciri Quick Share mudah berkongsi fail dengan ramai orang tanpa Internet. Sama-sama kita nantikan.

Komen