Ulasan Samsung Galaxy Z Fold6 – Peranti AI Pilihan
Effi Saharudin
Tahun ini akan menjadi semakin mencabar untuk Samsung khususnya dalam pasaran telefon boleh lipat dan telefon katup. Pengeluar dari China semakin agresif memasarkan peranti mereka yang bukan sahaja ditawarkan pada harga lebih rendah tetapi dengan ciri yang lebih menarik. Samsung melancarkan Galaxy Z Fold6 di Malaysia dengan tumpuan lebih diberikan kepada perisian. Ia adalah peranti AI pilihan saya di Amanz tetapi adakah ia peranti yang harus dimiliki atas sebab-sebab lain? Ini ulasan penuh saya untuk Z Fold6.
Spesifikasi
| Samsung Galaxy Z Fold6 | |
|---|---|
| Skrin | Luar – 6.3″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz HDR10+ |
| Pemproses | Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy (4nm) |
| Cip | 1 X 3.36 GHz Cortex-X32 2 X 2.8 GHz Cortex-A715 2 X 2.75 GHz Cortex-A710 3 X 2.00 GHz Cortex-A510 |
| Cip Grafik | Adreno 750 |
| RAM | 12GB LPDDR5X 8GB RAM Plus |
| Muatan Dalaman | 256/512/1000 GB UFS 4.0 |
| Kamera Utama | 50mp f/1.8 OIS, (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Lebar) 10MP, OIS, f/2.4 3x Zum Optikal (Telefoto) |
| Kamera Swafoto | 10MP f/2.2 (Luar) 4MP f/1.8 UDC (Dalam) |
| Bateri | 4400 mAh Pengecasan berwayar 25W Pengecasan nirwayar 11W Pengecasan berbalik 4.5W |
| SIM/Telefoni | 2 Nano, 1 eSIM 5G |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | IP48 |
| Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari sisi |
| Harga Jualan | RM 7,299 (12/256GB) RM 7,899 (12/512GB) RM 9,099 (12/1TB) |
SKRIN dan REKAAN
Seperti rekaan prototaip yang saya lihat di Seoul tahun lalu, Z Fold6 tahun ini akhirnya memberikan skrin luar yang mempunyai nisbah skrin lebih mirip sebuah telefon pintar jenis candybar biasa. Ia 1.4mm lebih rendah tetapi 1mm lebih lebar. Hasilnya ialah skrin luar kini sebesar 6.3″ dan bukan lagi 6.2″ tetapi masih lagi dari jenis Dynamic AMOLED 2X 120Hz. Dari luar Z Fold6 kelihatan seperti sebuah S24 Ultra kerana skrin luar kini berkotak tanpa bucu yang dibulatkan.

Skrin dalam masih lagi kekal 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz dan hadir sistem kamera bawah skrin UDC. Sokongan stylus S Pen juga dikekalkan tetapi masih tiada tempat simpanan terbina pada tubuh. Seperkara lagi yang tidak berubah ialah garisan lipatan yang masih lagi kelihatan walaupun kurang ketara. Garisan lipatan ini masih belum mampu diselesaikan oleh Samsung. Malahan setakat ini Oppo, Huawei, Honor dan Tecno juga masih belum mempunyai penyelesaian kepada isu yang wujud pada semua peranti skrin lipat ini.

Engsel tahun lalu dikemaskini lagi bagi menghasilkan peranti yang dilipat dengan lebih rapat. Malah menerusi kemas kini rekaan, Z Fold6 melepasi piawaian IP48 tahun ini yakni akhirnya mempunyai kemampuan tahun debu buat pertama kali. Tahun lalu Z Fold5 sekadar melepasi piawaian IPX8. Proses membuka dan menutup terasa lancar tanpa tentangan kuat kepada daya yang dikenakan oleh tangan.

Perubahan kedua yang lebih ketara ialah rekaan tubuh yang kini benar-benar berkotak. Lebih berkotak jika dibandingkan dengan siri Galaxy S24 yang dilancarkan pada Januari lalu. Saya cukup suka dengan estetik baharu ini kerana membuatkan peranti nampak lebih tegap dan wujud ilusi optik ia kelihatan lebih nipis.
Yang bukan ilusi ialah Z Fold6 adalah jauh lebih ringan kerana hanya seberat 239 gram bersamaan 7 gram lebih berat berbanding Galaxy S24 Ultra. Jika selama ini anda merasakan siri Z Fold adalah terlalu berat, model tahun ini adalah yang paling ringan pernah dihasilkan.

Kemasan panel belakang Gorilla Glass Victus 2 dan sisi peranti adalah kusam yang membuatkan ia tidak memerangkap kotoran dengan mudah dan juga kurang licin. Butang kuasa dan laras suara masih lagi diletakkan pada “pintu” kanan dengan butang kuasa juga merangkap pengimbas cap jari.

Pada bahagian atas pintu kiri terdapat kekisi audio dengan rekaan alur nipis. Elemen dari siri S24 digunakan semula pada Z Fold6. Di bahagian bawah pintu kiri diletakkan sebuah lagi alur untuk kekisi audio. Ini adalah bagi memastikan audio stereo yang seimbang dapat dihasilkan. Pada bahagian bawah pintu kanan pula terdapat port pengecasan USB-C.
Tiga kamera utama di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP OIS, 12MP ultra sudut lebar dan 10MP telefoto sehingga 3X optikal. Pada skrin dalam terdapat kamera swafoto 4MP bawah skrin dan di skrin luar pula kamera swafoto 10MP dalam lubang skrin. Ya tiada langsung perubahan dilakukan pada spesifikasi kamera Z Fold6.

Ini pada hemat saya mengecewakan tetapi ini telahpun dilakukan Samsung pada S24 Ultra yang juga mengitar semula komponen model tahun lalu. Perbezaan hanyalah pada lensa kamera yang lebih besar digunakan. Kerana saiz lensa lebih besar, bonggol kamera tahun ini nampak lebih seimbang dengan tubuh peranti. Secara keseluruhan peranti nampak lebih kemas, tegap dan mirip sebuah S24 Ultra cuma dengan skrin yang dilipat.
PENGGUNAAN Dan PERISIAN

Sistem operasi One UI 6.1.1 berasaskan Android 14 digunakan. Versi ini lebih terkini berbanding yang digunakan pada S24 Ultra dan Z Fold5 yang kini menggunakan versi One UI 6.1. Maka tiada perubahan yang drastik antara kedua-dua versi ini. Malahan saya difahamkan perubahan hanyalah pada beberapa ciri AI baharu yang akan disenaraikan di bawah.

Peranti beroperasi dengan lancar dibantu oleh pemproses Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy, memori sebesar 12GB RAM dan storan sehingga 1TB. Seperti saya katakan di atas tiada ciri standard baharu diperkenalkan. Masih terdapat ciri seperti menyambung tontonan dari skrin luar ke dalam, melihat peranti untuk menonton video hanya pada sebelah skrin, multi window tiga aplikasi serentak dan taskbar pada bahagian bawah yang memudahkan proses multi tugas.
Bercakap mengenai RAM, ciri RAM Plus boleh menambah memori sehingga 8GB secara maya. Ia boleh dimatikan jika pemilik tidak mahu sebahagian storan diambil untuk menambah RAM. Terdapat juga pilihan hanya menambah 2, 4, dan 6 GB RAM maya.

Kekuatan Samsung masih lagi terletak pada perisian. Seperti siri Galaxy S24, Galaxy Z Fold6 dan juga Galaxy Z Flip6 akan menerima sokongan sistem operasi serta tampalan sekuriti selama tujuh tahun yang jauh lebih lama berbanding pengeluar peranti Android lain kecuali Google.
Galaxy AI

Dalam mod Interpreter, skrin luar boleh memaparkan perbualan yang dialih bahasa secara masa nyata. Seterusnya Sketch to Image mengubah lakaran menggunakan S Pen menjadi lukisan sebenar dengan bantuan AI.


Portrait Studio pula mengubah gambar wajah menjadi seakan kartun 3D, lakaran atau lukisan air. Ini kemudiannya boleh digunakan sebagai avatar peribadi di media sosial. Mod ini juga membolehkan pengguna menambah objek dalam gambar yang diambil. Berdasarkan lakaran topi di atas kepala, pelbagai topi yang kelihatan realistik boleh dijana tanpa pengguna melakukan suntingan secara manual.


Mode Composer juga diperkenalkan bagi membantu penulisan. Terdapat tiga pilihan iaitu Email, Social Media dan Comment. Teks yang bersesuaian akan dijana oleh Galaxy AI sekiranya pengguna tidak mahu menulis sendiri emel panjang yang perlu dihantar misalnya. Akhir sekali Circle to Search ditambah baik dengan kemampuan menjawab soalan matematik.

PENANDA ARAS
Berikut adalah markah yang dicatatkan dalam ujian penanda aras Geekbench 6, Antutu 3D dan 3D Mark Wildlife Extreme. Samsung Galaxy pada Z Fold6 dengan Snapdragon 8 Gen 3 dibandingkan dengan Samsung Galaxy Z Fold5 (Snapdragon 8 gen 2), Oppo Find N3 (Snapdragon 8 Gen 2), Samsung Galaxy Z Flip6 (Snapdragon 8 Gen 3), Xiaomi 14 Ultra (Snapdragon 8 Gen 3), Samsung Galaxy S24 Ultra (Snapdragon 8 Gen 3) dan iQOO 12 (Snapdragon 8 Gen 3)
Antutu 3D
- Samsung Galaxy Z Fold6 – 1,610,669
- Samsung Galaxy Z Fold5 – 1,597,608
- Oppo Find N3 – 1,405,149
- Samsung Galaxy Z Flip6 – 1,361,432
- Xiaomi 14 Ultra – 2,000,434
- Samsung Galaxy S24 Ultra – 1,768,765
- iQOO 12 – 2,075,821
Geekbench 6
- Samsung Galaxy Z Fold6 – 1902/6943
- Samsung Galaxy Z Fold5 – 1948/5373
- Oppo Find N3 – 1537/4561
- Samsung Galaxy Z Flip6 – 2061/5760
- Xiaomi 14 Ultra – 2221/6632
- Samsung Galaxy S24 Ultra – 2278/7016
- iQOO 12 – 2181/6631
3D Mark Wildlife Extreme
- Samsung Galaxy Z Fold6 – 4752
- Samsung Galaxy Z Fold5 – 2929
- Oppo Find N3 – 3654
- Samsung Galaxy Z Flip6 – 4574
- Xiaomi 14 Ultra – 4717/
- Samsung Galaxy S24 Ultra – 4657
- iQOO 12 – 5045

Yang menarik di sini ialah tiada perbezaan prestasi yang ketara di antara Z Fold6 dan Z Fold5. Perbezaan antara kedua-dua peranti dengan cip daripada dua generasi berbeza adalah terlalu kecil untuk mendatangkan perbezaan prestasi yang besar. Saya boleh katakan pada anda selepas menggunakan kedua-dua peranti selama dua minggu, saya tak dapat melihat langsung perbezaan dari segi melancarkan aplikasi atau melakukan multi tugasan.

Prestasi Z Fold6 adalah amat lancar. Dibantu oleh memori UFS 4.0 yang pantas. Sepantas pengalaman saya menggunakan Galaxy S24 Ultra. Kuasa yang tinggi in amat berguna sehingga saya boleh menjalan COD Mobile dan COD Warzone Mobile secara serentak menggunakan mod Multi Window.
Majoriti permua yang diuji boleh dijalankan pada tetapan tinggi tanpa sebarang masalah. Isu hanya timbul pada COD Warzone Mobile dengan peranti menjadi sedikit panas dan kadar bingkai kurang konsisten. Permua in masih belum dioptimumkan dengan sempurna oleh pembangun. Untuk 99% aplikasi Android saya yakin isu ini tidak berlaku.
TELEFONI Dan GPS
Peranti menyokong rangkaian 5G. Pada rangkaian Celcom Digi yang saya gunakan tiada isu mengakses rangkaian 5G hampir setiap masa. Panggilan suara juga jelas lebih-lebih lagi jika menggunakan VoLTE dan VoWiFi. Prestasi WiFi juga adalah amat cemerlang. Jika anda melanggan kepada perkhidmatan internet sehingga 2Gbps, WiFi 6E pada Z Fold6 boleh menyokongnya.

Prestasi GPS pada Z Fold6 adalah lebih baik berbanding Z Fold5. Tiada isu mengambil masa yang lama untuk menjejak lokasi setiap kali aplikasi pemetaan dan navigasi dibuka pada telefon.
KAMERA
Spesifikasi kamera tidak berubah sejak Galaxy Z Fold4. Hanya rekaan lensa dan bonggol diubahsuai untuk kelihatan lebih seimbang apabila dilihat dari belakang. Samsung mengatakan penambahbaikan dilakukan pada tahap perisian. Sebagai contoh terdapat mod Ultra HDR yang diperkenalkan menerusi siri S24 awal tahun ini.

Gambar yang diambil adalah tajam dan terang. Dalam situasi pencahayaan yang baik warna nampak hidup dan mempunyai saturasi yang tinggi. Mod Super HDR membuatkan gambar dengan pencahayaan terang khususnya pada waktu malam nampak lebih realistik. Gambar-gambar di bawah tidak dapat menunjukkan kesan HDR kerana apabila disunting maklumat HDR hilang. Adakah kualiti gambar Fold6 lebih baik berbanding Fold5? Jawapan yang saya boleh katakan tidak begitu ketara. Jika anda mahukan perubahan besar pada kualiti gambar model tahun ini anda akan dikecewakan.






Mod malam adalah memuaskan sekali kerana sensor 50MP yang besar dan sistem OIS. Pendedahan gambar yang lebih lama sehingga 7 saat boleh dilakukan bagi mendapatkan gambar malam yang lebih terang. Kesan hingar pada gambar adalah minima tetapi tidak sebaik yang saya dapat nikmati pada Galaxy S24 Ultra.


Mod zum pula baik sehingga sekitar 10x zum sahaja. Melangkaui tahap ini gambar mula keliangaan ketajamannya. Di bawah ialah sampel gambar menggunakan mod zum 1x, 3x, 10x, 20x dan 30x. Kesimpulannya dari ujian yang kami lakukan kamera pada Z Fold6 adalah perbadanan dengan statusnya sebagai sebuah peranti mercu.





BATERI
Seperti yang berlaku pada kamera, bateri tahun ini juga masih berkapasiti 4400 mAh dan menyokong pengecasan berwayar 25W, nirwayar 15W dan pengecasan berbalik 4.5W. Pengecasdan berbalik tidak boleh digunakan pada Watch Ultra dan Watch7 kerana perubahan pada panel belakang.
Saya kecewa kerana kapasiti bateri masih kecil jika dibandingkan dengan Xiaomi MIX Fold 4, Vivo X Fold 3 Pro dan Honor Magic V3 yang baru sahaja dilancarkan. Kesemua peranti ini dilengkapi bateri dengan kapasiti lebih 5000 mAh dan pengecasan sekurang-kurangnya 66W. Samsung tidak mempunyai alasan munasabah lagi untuk terus sekadar mengitar semula perkakasan lama dengan penambahbaikan yang minima.

Berita baik di sini hanya SOT 9-10 jam sehari dapat kami nikmati pada penggunaan yang sederhana. Peranti juga boleh bertahan sepanjang hari dengan masih terdapat sekitar 10% pada waktu malam sebelum kami tidur. Tetapi bayangkan jika bateri lebih besar digunakan. Pastinya hayat bateri akan dapat bertahan lebih lama.
Pengecas 25W juga tidak disertakan sekali dengan pembelian dan Samsung sekadar memberikan kabel USB-C ke USB-C dengan setiap pembelian.
AUDIO
Dua speaker stereo yang menembak ke sisi menawarkan audio yang seimbang. Rekaan kekisi dalam bentuk alur baharu saya rasakan membuatkan audio kedengaran lebih lantang. Terdapat sokongan sistem audio Dolby Atmos untuk pengalaman audio yang teras lebih imersif. Jika fon kepala/telinga nirwayar digunakan, terdapat sokongan codec AAC, SBC dan LDAC.

Kualiti audio adalah lebih baik berbanding majoriti telefon pintar dengan rekaan candybar. Cuma ia bergantung kepada lokasi tangan apabila Fold6 dipegang. Jika tersalah pegang, kedua-dua lubang speaker akan tertutup oleh telapak tangan membuatkan audio terhalang.
PESAING
| Samsung Galaxy Z Fold6 | Xiaomi MIX Fold 4 | Honor Magic V3 |
| Luar – 6.3″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz HDR10+ | Luar – 6.56″ LTPO AMOLED, 120Hz Dalam – 7.98″ LTPO AMOLED, 120Hz Dolby Vision | Luar – 6.43″ OLED, 120Hz Dalam – 7.92″ OLED, 120Hz, HDR10+ |
| Snapdragon 8 Gen 3 (4nm) 1 X 3.39 GHz Cortex X4 3 X 3.1 GHz Cortex A720 2 X 2.9 GHz Cortex A720 2 X 2.2 GHz Cortex 520 | Snapdragon 8 Gen 3 (4nm) 1 X 3.39 GHz Cortex X4 3 X 3.1 GHz Cortex A720 2 X 2.9 GHz Cortex A720 2 X 2.2 GHz Cortex 520 | Snapdragon 8 Gen 3 (4nm) 1 X 3.39 GHz Cortex X4 3 X 3.1 GHz Cortex A720 2 X 2.9 GHz Cortex A720 2 X 2.2 GHz Cortex 520 |
| Adreno 750 | Adreno 750 | Adreno 750 |
| 12 GB LPDRR5X | 12/16 GB LPDRR5X | 12/16 GB LPDRR5X |
| 256/512/1000 GB UFS 4.0 | 256/512/1000 GB UFS 4.0 | 256/512/1000 GB UFS 4.0 |
| Kamera Utama 50MP f/1.8, OIS (Utama) 12MP f/2.4 (Ultra Lebar) 10MP f/2.2, OIS (Telefoto) | Kamera Utama 50MP f/1.7, OIS (Utama) 12MP f/2.2 (Ultra Lebar) 50MP f/2.0, OIS (Telefoto) 10MP f/2.9, OIS (Telefoto) | Kamera Utama 54MP f/1.6, (Utama) 40MP f/2.2 (Ultra Lebar) 50MP f/3.0, OIS (Telefoto) |
| Kamera Hadapan 10MP f/2.2 4MP f/1.8 (UDC) | Kamera Hadapan 16MP 16MP | Kamera Hadapan 20MP f/2.2 20MP f/2.2 |
| IP48 | IPX8 | IPX8 |
| Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
| Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
| 4400 mAh (Berwayar 25W) | 5100 mAh (Berwayar 67W) | 5150 mAh (Berwayar 66W) |
| RM 7299 (12/256GB) RM 7899 (12/512GB) RM 9099 (12/1000GB) | RM 5797* (12/256GB) RM 6441* (16/512GB) RM 7085* (16/1000GB) *= Mata wang China | RM 5790* (12/256GB) RM 6433* (16/512GB) RM 7077* (16/1000GB) *= Mata wang China |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
- 1x Samsung Galaxy Z Fold6
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.

KESIMPULAN
Samsung Galaxy Z Fold6 ialah peranti skrin lipat yang mantap dengan pemproses berkuasa, rekaan yang lebih kemas dan perisian yang masih lagi yang terbaik di dalam kelasnya. Jika anda tidak pernah membeli peranti skrin lipat, Z Fold6 ialah pilihan yang mantap kerana boleh digunakan untuk tempoh yang laman kerana sokongan perisian selama 7 tahun. Ciri AI yang terbaik untuk telefon pintar juga menjadikannya peranti pilihan untuk AI kami di Amanz.

Tetapi masalahnya tahun ini ialah Z Fold6 dijual pada harga yang lebih mahal berbanding model tahun lalu tanpa perubahan pada bateri, sistem kamera dan sistem pengecasan. Ciri menarik pada perisian khususnya dan Galaxy AI akan diberikan kepada Z Fold5 dan Z Fold4 menjelang penghujung tahun ini. Perbezaan kuasa antara Z Fold5 dan Z Fold6 juga tidak ketara.
Saya merasakan Z Fold5 masih lagi peranti yang memadai dari segi kemampuannya berbanding Z Fold6. Maka sukar untuk menyarankan pembelian Z Fold6 kerana peningkatan berbanding model lalu yang terlalu minima. Di Malaysia Samsung Galaxy Z Fold6 dijual pada harga bermula RM 7299 sebuah.
Pro
- Spesifikasi yang berkuasa untuk permua.
- Perisian terbaik dalam kelasnya dengan ciri AI yang berguna.
- Rekaan lebih nipis terasa lebih kukuh.
- Sokongan S Pen.
- Bateri yang tahan lama.
- Kalis air IP48.
- Sokongan versi Android sebanyak 7 versi dan tampalan sekuriti 7 tahun.
Kontra
- Pengecasan 25W yang perlahan untuk peranti mercu.
- Tiada perubahan pada spesifikasi kamera.
- Tidak menawarkan peningkatan yang ketara berbanding Z Fold5.
- Harga naik mendadak.
