Tablet Akan Datang Samsung Dijangka Menggunakan Cip MediaTek
Amy Maizuraa
Jika sebelum ini Samsung menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 2 pada barisan tablet mercu siri Galaxy Tab S9. Untuk kali ini perubahan dijangka akan berlaku pada tablet akan datang mereka yang didakwa boleh dijana dengan cip pemprosesan MediaTek.

Ia berikutan terdapatnya markah penanda aras Geekbench untuk peranti Galaxy Tab S10+ (SM-X926B) telah tertiris dengan ia dijangka hadir dengan cip MediaTek Dimensity 9300+. Ini adalah luar daripada kebiasaan Samsung yang sering menggunakan cip Qualcomm pada barisan tablet mercu keluarannya. Namun ia masih dijangka boleh menjadi versi yang lebih baik memandangkan cip pemprosesan tersebut juga tidak kurang hebatnya.

Butiran lain turut diperlihatkan seperti peranti mencatatkan 2,141 markah dalam ujian satu teras dan 5,533 markah dalam ujian multi teras. Padanan memori 12GB RAM dan sistem operasi terkini Android 14 turut disertakan kelak sebagai pelengkap. Terdapat juga desas-desus mengatakan bahawa Galaxy Tab S10 Ultra (versi global) turut sama dijana dengan cip MediaTek dan bukannya Qualcomm seperti sebelum ini.

Untuk rekod, MediaTek Dimensity 9300+ telah diposisikan sebagai cip kelas mercu 4nm TSMC dengan keupayaan menjalankan kecerdasan buatan (AI) generatif pada peranti. Ia dilengkapi lapan teras CPU dengan konfigurasi 1 X CPU Cortex-4 3.4GHz, 3 X Cortex-X4 dan 4X Cortex-A720. Ini dipadankan dengan GPU Arm Immortalis-G720 yang menjanjikan peningkatan prestasi 20% lebih baik untuk senario tertentu.
[sumber] SamMobile[/sumber]