Carian
Apple iPhone 17 Mungkin Mempunyai Sensor Kamera Dengan Apertur Boleh Ubah
July 24, 2024 Fahim Zahar

Penggunaan apertur boleh ubah pada telefon pintar sejak kebelakangan ini semakin menjadi-jadi. Huawei menggunakannya, Xiaomi pun sama dan akan datang Apple dikhabarkan turut akan menyertakan teknologi kamera lebih kurang sama pada salah satu model iPhone 17.

Apple dikatakan akan menggunakan teknologi dengan kawalan mekanikal. Iterasi Apple adalah lebih kurang sama dengan mana-mana telefon pintar keluaran China. Ciri ini adalah untuk meningkatkan kemampuan kamera pada peranti. Dengan sistem apertur boleh ubah, masalah fokus boleh diselesaikan dan kesan bokeh natural turut boleh didapatkan. Ia turut membantu untuk hasil gambar jarak dekat seperti makro.

iPhone sekarang bergantung kepada teknologi lensa dan algoritma tersendiri yang bijak. Mana tahu Apple boleh menemui konsep apertur boleh ubah yang unik yang gagal dijayakan oleh Samsung selepas memperkenalkannya pada Galaxy S9. Mana tahu ciri ini terhad kepada iPhone 17 Slim yang dikhabarkan akan padat dengan teknologi baharu serta menggunakan rekaan tersendiri. Sama-sama kita nantikan.

Komen