Humble Games, syarikat di sebalik penawaran berkas permainan Humble Bundle mengumumkan pembuangan pekerja kerana cabaran ekonomi yang melanda penerbitan indie. Dalam kenyataan yang dimuat naik ke LinkedIn, Humble Games menjelaskan langkah ini terpaksa diambil selepas melakukan pertimbangan dengan matlamat untuk memastikan kestabilan syarikat. Penstrukturan semula operasi Humble Games walau bagaimanapun tidak memberi kesan kepada operasi Humble Bundle.

Humble Games masih lagi akan beroperasi bagi menyokong beberapa pembangun yang menggunakan perkhidmatan mereka untuk menerbitkan permainan. Humble Games mula menerbitkan permainan sejak 2017 dan telahpun melakukan proses pengurangan tenaga kerja pada penghujung 2023. Pengumuman penstrukturan semula hari ini menyebabkan 36 kakitangan kehilangan kerja.
Tahun 2024 ialah annus horribilis untuk industri permainan video. Peningkatan jualan permainan video ketika pandemik mula berkurangan dan menyebabkan penutupan studio dilakukan oleh syarikat besar seperti Microsoft dan Sony. Studio besar seperti EA juga terkesan kerana jualan permainan video yang kembali ke tahap pra-pandemik.