Carian
AMD
Butiran Tambahan AMD Ryzen 9000 Diperlihatkan – Penggunaan Kuasa Lebih Cekap Dan Sokongan Papan Induk Sedia Ada
July 25, 2024 Nazrin

Siri cip pemprosesan AMD Ryzen 9000 yang diumumkan sewaktu acara Computex Taipei yang sepatutnya dilancarkan pada minggu hadapan, 31 Julai telah ditunda selama seminggu kerana isu berkenaan cip pemprosesan yang telah ke pasaran.

Akan tetapi, ia tidak bermakna bahawa AMD tidak akan memperlihatkan butiran baru mengenai cip pemprosesan desktop terbaru mereka, yang dilihat hadir dengan sokongan natif untuk teknologi penghantaran data terbaru dan juga penggunaan tenaga elektrik yang lebih cekap.

AMD Ryzen 9000 menggunakan cip pemprosesan terbaru mereka, iaitu AMD Zen 5 dan masih menggunakan rekaan “chiplet” dimana ia menggabungkan penggunaan beberapa cip pemprosesan kecil yang dibangunkan menggunakan sambungan yang dinamakan Infinity Fabric untuk membina sebuah cip pemprosesan bersaiz penuh.

Teknologi ini digunakan sejak siri cip pemprosesan AMD Ryzen 3000 lagi, dan diteruskan sehingga sekarang untuk membolehkan AMD membina komponen-komponen tertentu tanpa memberi kesan kepada bahagian-bahagian cip pemprosesan yang lain.

Sebagai contoh, untuk AMD Ryzen 9000, walaupun bahagian pemproses dibina menggunakan proses N4P TSMC (4nm) yang baru, ia masih lagi menggunakan cip pemproses I/O (pengawal palam-palam pada papan induk) sebelum ini yang dibina menggunakan proses 6nm yang diperlihatkan pada siri cip AMD Ryzen 7000. Ini dilihat sebagai salah satu cara AMD mengurangkan kos pembangunan cip-cip pemprosesan mereka.

Kelebihan menggunakan proses N5P ini dapat dilihat dari segi penggunaan tenage elektrik. Menurut AMD, siri cip pemprosesan Ryzen 9000 mereka dianggarkan hadir dengan jumlah penggunaan tenaga elektrik 22 peratus lebih rendah berbanding dengan siri AMD Ryzen 7000 sebelum ini.

AMD Ryzen 9000 juga mempunyai sebanyak 28 lorong PCIe 5.0 secara natif, iaitu teknologi penghantaran data terpantas yang ada di pasaran setakat ini, empat lebih banyak berbanding 24 lorong pada siri cip pemprosesan AMD Ryzen 7000 sebelum ini.

Secara teknikalnya, ini bermakna bahawa sebuah komputer yang dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen 9000 boleh menggunakan satu kad grafik yang menggunakan 16 lorong PCIe 5.0 bersama-sama dengan dua storan SSD PCIe 5.0 dengan prestasi yang penuh (kadar pembacaan data 14GB/s) tanpa masalah.

Dari segi sokongan papan induk pula, AMD mengesahkan bahawa AMD Ryzen 9000 masih lagi menggunakan platform AM5, dan ini bermakna bahawa ia menyokong papan induk yang menggunakan cipset siri AMD-600 (X670, B650) yang lama, bersama-sama papan induk baru AMD-800 (X870, B850) yang akan dilancarkan bersama-sama dengan cip pemprosesan ini.

AMD juga telah memberi janji bahawa platform AM5 ini akan disokong sehingga sekurang-kurangnya 2027 kelak, jadi komputer anda yang sedia anda masih boleh digunakan dengan kemaskini CPU baru sekiranya diperlukan.

Sama seperti cip pemprosesan AMD Ryzen 7000, siri cip pemprosesan ini juga hadir dengan cip grafik terbina yang membolehkan cip ini digunakan tanpa kad grafik untuk mendapatkan output pada paparan terlebih dahulu sebelum anda memasang kad grafik.

Seperti yang dilaporkan, siri cip pemprosesan AMD Ryzen 9000 yang terdiri daripada empat model CPU terlebih dahulu akan mula dijual pada 8 Ogos dan 15 Ogos ini.

Komen