Masalah media sosial memang menjadi perhatian khususnya dalam hal penyebaran berita palsu dan isu-isu jenayah dalam talian. Malaysia juga tidak terkecuali daripada terpalit dengan permasalahan berkenaan. Seterusnya kerjasama antara pelbagai pihak sangatlah perlu dalam menangani isu keselamatan siber menerusi pematuhan undang-undang negara.

Semalam Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ada berkongsi kadar peratusan kepatuhan pengendali platform media sosial terhadap undang-undang negara ini dengan platform milik Meta yang menerajui carta secara keseluruhannya.
Instagram di tahap pematuhan tertinggi 88% diikuti oleh Facebook (85%), WhatsApp (79%), TikTok (76%), dan Telegram (65%). X/Twitter pula adalah di tahap pematuhan paling corot dengan hanya 25%.
Turut dinyatakan bahawa antara undang-undang dan akta yang dilanggar termasuklah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (709), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588).

Bagaimanapun, Fahmi berkata, setiap platform sebenarnya masih mempunyai isu jenayah dalam talian dan kandungan membahayakan keselamatan rakyat. Misalnya seperti masalah scam di Facebook sahaja mencecah kerugian beratus juta. Walaupun kadar kepatuhan tinggi namun secara keseluruhannya jumlah scam yang berlaku di Facebook terlalu banyak. Turut dimaklumkan bahawa isu melibatkan buli siber dan pornografi pula dikesan banyak berlaku dalam aplikasi X.
Rentetan daripada itu, MCMC juga sudah mengeluarkan surat kepada setiap platform dan memberi maklum balas berhubung sejumlah isu yang dibangkitkan. Pada masa sama akan ke Singapura pada Ahad ini untuk bertemu semua wakil platform media sosial bagi membincangkan permasalahan yang dihadapi untuk penambahbaikan perlaksanaan pada masa akan datang.