Carian
Agensi Kerajaan Switzerland Kini Diwajibkan Menggunakan Perisian Sumber Terbuka
July 25, 2024 Nazrin

Kerajaan Switzerland baru-baru ini telah memperkenalkan undang-undang baru yang dinamakan Federal Law on the Use of Electronic Means for the Fulfillment of Government Tasks” (EMBAG) yang mana agensi-agensi kerajaan kini diwajibkan untuk menggunakan perisian sumber terbuka untuk proses-proses IT mereka.

Malah, sebarang perisian yang dibangunkan untuk kegunaan agensi-agensi kerajaan tersebut diarahkan untuk dikongsi supaya ia boleh diaudit oleh parti ketiga dan untuk memastikan bahawa ia selamat digunakan dan tidak akan menghadapi isu diserang oleh perisian hasad.

Bukan itu sahaja, dibawah undang-undang EMBAG ini, agensi-agensi kerajaan Switzerland juga diwajibkan memberi akses terbuka kepada data yang tidak mengandungi sebarang butiran peribadi dan sensitif yang boleh digunakan untuk tujuan jahat.

Konsep ini dinamakan Open Government Data, dimana sebarang data yang berkaitan dengan polisi kerajaan boleh diakses secara terbuka, dan proses-proses yang digunakan oleh pihak kerajaan juga boleh diaudit dengan mudah melalui Free and Open Source Software Auditing Project.

Penggunaan teknologi sumber terbuka ini juga bukanlah sesuatu yang baru. Agensi Perancis yang dinamakan National Gendarmerie menggunakan sistem operasi sumber terbuka Linux pada komputer-komputer mereka, manakala sebuah negeri di Jerman, Schleswig-Holstein telah memindahkan sebanyak 30 ribu komputer agensi kerajaan mereka dari sistem operasi Microsoft Windows ke Linux dan menggunakan perisian produktiviti Libre Office baru-baru ini.

Komen