Google telahpun mendedahkan rekaan empat peranti di bawah siri Google Pixel 9 yang akan dilancarkan pada 13 Ogos hadapan. Walaupun pelancaran masih lagi lebih dua minggu dari sekarang, spesifikasi kesemua peranti ini telahpun tertiris menerusi laman 91 Mobiles dan OneLeaks hari ini mendedahkan bukan sahaja perkakasan tetapi ciri baharu yang akan diperkenalkan.

Kita mulakan dengan Google Pixel 9 yang dilengkapi skrin 6.3″ Actua Display, dijana cip Tensor G4, memori sebesar 12GB, kamera utama 50+48MP dan kamera hadapan pula sebesar 10.5MP. Tiada maklumat mengenai bateri ataupun pilihan storan pada ketika ini.
Kemudian Googel Pixel 9 Pro dan 9 Pro XL pula dilengkapi skrin 6.3″ dan 6.8″ Actua Display, dijana cip Tensor G4, memori sebesar 16GB, kamera utama 50+48+48MP dan kamera hadapan pula sebesar 42MP. Sekali lagi tiada maklumat mengenai bateri ataupun pilihan storan.

Akhir sekali Google Pixel 9 Pro Fold dilengkapi skrin 6.3″ di bahagian luar dan 8″ di bahagian dalam Actua Display, dijana cip Tensor G4, memori sebesar 16GB, kamera utama 48+10.5+10.8MP dan kamera hadapan pula sebesar 10MP. Maklumat mengenai bateri serta pilihan storan tidak pula didedahkan.

Peranti akan hadir dengan langganan Gemini Pro percuma selama setahun. Ciri Pixel Sceenshot turut disertakan yang membolehkan pemilik mengingati maklumat penting. Sokongan perisian ialah tujuh versi Android dan tujuh tahun tampalan sekuriti.