Google Drive adalah ruang penyimpanan fail yang membolehkan pengguna menyimpan, mengakses, menyunting dan berkongsi kandungan fail secara online dalam bentuk teks dan juga video – ia merupakan rangkaian produk Google Workspace. Sehingga kini, terdapat pelbagai fungsi berguna yang telah ditawarkan untuk menambah baik pengalaman penggunaan.

Dalam perkembangan terkini, Google mengumumkan mereka telah menambah fungsi yang membolehkan kapsyen dapat dijana secara automatik pada video yang telah dimuat naik ke Google Drive. Ciri ini berfungsi dengan menggunakan teknologi pengecaman pertuturan dan hanya menyokong penjanaan kapsyen dalam Bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, Google akan mengembangkan penjanaan kapsyen secara automatik ini ke pelbagai lagi bahasa lain kelak.
Ciri ini hanya akan berfungsi secara automatik pada video yang baru dimuat naik selepas pengumuman berkaitan perkara ini Khamis lalu. Pengguna masih boleh menjana kapsyen pada video yang telah lama dimuat naik secara tetapan manual. Caranya mudah :
- Buka video dalam mod pratonton (preview).
- Klik simbol tiga titik pada bahagian atas kanan paparan.
- Klik ‘Manage Caption Tracks’.
- Klik ‘Generate Automatic Caption’.

Proses menjana kapsyen ini sedikit lambat dengan ia mengambil masa beberapa minit untuk selesai melakukan penjanaan kapsyen bergantung kepada durasi video. Ciri ini juga akan ditambah baik untuk menjadikannya lebih cepat dan cekap.
Pengguna boleh mencari kapsyen video dalam fail di kotak carian dengan menaip frasa atau perkataan yang disebut di dalam video. Jadi pengguna tidak lagi perlu risau jika terlupa nama fail. Secara keseluruhan, ciri ini dilihat berguna untuk meningkatkan produktiviti penggunaan dengan memudahkan carian fail di Google Drive.