Oppo Find X8 Ultra Dikatakan Lebih Nipis Berbanding Pendahulunya
Amy Maizuraa
Oppo telah mengesahkan kewujudan peranti baharu Find X8 Ultra melalui sebuah temu bual bersama pengurus produknya, Zhou Yibao. Meskipun masih diperingkat pembangunan namun terdapat beberapa hal yang menarik mengenainya telah dikongsi. Ia termasuklah peranti akan mempunyai tubuh lebih nipis berbanding Find X7 Ultra yang setebal 9.5mm. Turut diperkatakan ialah bonggol kamera juga akan lebih kecil sekaligus memungkinkan peranti tersebut menjadi lebih ringan.

Selain itu, peranti juga boleh dimuatkan dengan bateri 6,000mAh lebih besar berbanding 5000mAh yang digunakan dalam Find X7 Ultra. Ia dilihat menarik kerana Oppo mampu menawarkan kapasiti bateri lebih baik dalam sebuah tubuh peranti lebih nipis. Pun begitu, ia tidaklah mengejutkan apabila pengeluar lain turut melakukan hal yang serupa pada peranti terkini masing-masing khususnya untuk segmen mercu.

Tubuh peranti dikatakan melepasi piawaian IP68 maka pengguna tidak perlu risau kerosakan disebabkan oleh air. Dengan kemasan belakang kaca pula peranti kelak akan lebih tampil premium. Masih tiada butiran teknikal yang didedahkan setakat ini namun jangkaan awal mencadangkan peranti boleh mengekalkan dwi kamera periskop bersama panel hadapan berkadar segar semula yang tinggi.
[sumber] androidheadlines [/sumber]