Platform Penstriman Max Akan Ke Pasaran Asia Tenggara Tahun Ini
Fahim Zahar
Max adalah platform penstriman video generasi baharu kepada HBO Max yang dilancarkan pada April tahun lepas. Max sehingga hari ini terhad di pasaran Eropah, Amerika Syarikat, Latin Amerika dan Carribean sahaja. Untuk pasaran Asia Tenggara seperti di Malaysia, Warner hanya menawarkan HBO GO. Akan datang perkara ini mungkin berubah.

Dalam semakan saya sebentar tadi, laman Max masih tidak disokong di Malaysia. Walaupun begitu, laman khidmat bantuan mereka ada menyatakan yang Max akan tiba ke pasaran Asia Tenggara tahun ini. Tiada senarai negara atau harga langganan didedahkan. Penggunaan HBO GO dan Max ini tidak dinafikan adalah mengelirukan, jadi harapnya jika semua diselarikan sebagai satu akan lebih memudahkan.
Wakil Warner dan HBO GO di Malaysia turut tidak memberi sebarang informasi mengenai kehadiran Max. Walau bagaimanapun, kami sendiri pernah mendengar sejak tahun lepas yang pihak Warner memang serius ingin menawarkan Max di Malaysia namun tiada apa-apa kemas kini lagi sehingga hari ini. Di Amerika Syarikat, langganan bulanan Max bermula sekitar RM46.50 sebulan dengan iklan dan turut ada berkas langgan dengan Disney+. Sama-sama kita nantikan.
[sumber] Max [/sumber]