Google nampaknya turut ingin bersaing dengan Apple dalam segmen hiburan kerana akan datang, produk fizikal Google TV bukan lagi dalam bentuk dongel tetapi kotak TV yang nipis. Ia dinamakan sebagai Google TV Streamer dan mungkin akan menjadi pesaing sengit kepada Apple TV 4K.

9to5Google melaporkan yang kotak TV baharu Google ini akan dikeluarkan oleh Quanta Computer yang sama mengeluarkan Pixelbook, Pixel Slate, dan Pixelbook Go. Kotak TV ini masih menjalankan sistem operasi Google TV berasaskan Android tetapi tidak mendedahkan versi terkini. Bukan itu sahaja, Google TV Streamer turut dikatakan akan menyokong sambungan Ethernet dan juga Thread (Matter).
Sambungan Ethernet akan memudahkan pengguna menggunakan sambungan Internet yang lebih stabil dan pantas seperti pada Apple TV 4K. Sementara sokongan Thread akan membolehkan kotak TV ini berkomunikasi dengan peranti berhubung lain seperti mengawal lampu dengan alat kawalan jauh. Buat masa ini harga jualan dan spesifikasi lengkap masih misteri, sama-sama kita nantikan.