Pelancaran Cip Pemprosesan AMD Ryzen 9000 Ditunda Mungkin Kerana Kesilapan Ejaan
Nazrin
Pada minggu lepas kami ada melaporkan bahawa AMD akan menunda pelancaran siri cip pemprosesan terbaru AMD Ryzen 9000 mereka yang terdiri daripada empat model cip pemprosesan baru. AMD mengatakan bahawa ia adalah kerana cip pemprosesan tersebut tidak melepasi piawaian tertentu, tetapi ia bukan kerana isu prestasi.
Terkini, ia telah dilaporkan melalui sebuah ulasan video di Bilibili bahawa cip pemprosesan yang diterima mereka hadir dengan kesilapan ejaan di permukaan CPU tersebut. Ulasan tersebut adalah mengenai cip pemprosesan AMD Ryzen 7 9700X, tetapi ejaan yang diperlihatkan pada permukaan fizikal CPU tersebut dilihat sebagai AMD Ryzen 9 9700X.

Label ini dicetak pada permukaan fizikal CPU tersebut, dan nampaknya ditarik-balik untuk dicetak semula dan kemudiannya akan dijual seperti biasa. Ia juga memberi gambaran tentang mengapa AMD mengatakan bahawa tiada sebarang isu mengenai prestasi walaupun ia terpaksa ditarik balik.
Dalam pada itu, ia juga telah dilaporkan bahawa cip AMD Ryzen 5 9600X juga memperlihatkan kesilapan cetakan nama model ini, dimana ia dicetak dengan nama Ryzen 9 juga. Kesemua cip-cip ini telah ditarik balik untuk dicetak semula, dan akan melalui proses cetakan semula dan dijual kemudian.
[sumber]Tom’s Hardware[/sumber]