Isu Yang Membelenggu CPU Intel Generasi 13 Dan 14 Lebih Serius Dari Yang Dijangka
Nazrin
Pada minggu lepas, Intel akhirnya telah mengeluarkan kenyataan mengenai cip-cip pemprosesan yang rosak akibat masalah mikrokod pada siri CPU Intel generasi ke-13 dan ke-14 mereka, iaitu Raptor Lake dan Raptor Lake Refresh.
Pada minggu lepas, Intel mengatakan bahawa kebanyakan CPU yang menghadapi isu kerosakan ini adalah terhad kepada siri cip pemprosesan Intel Core i9, khususnya model K yang boleh dilewahjam. Mikrokod terbina didalam CPU-CPU ini meyebabkan isu overvoltage yang mana voltan elektrik disalurkan dengan terlalu banyak, dan boleh menyebabkan komputer tertutup dengan sendirinya, atau lebih teruk lagi membunuh komputer anda.

Intel mengatakan bahawa mereka akan mengeluarkan kemaskini mikrokod ini pada bulan Ogos ini, tetapi mengatakan bahawa CPU-CPU yang sudahpun terkesan akibat isu overvoltage ini tidak lagi boleh diperbaiki, dan CPU tersebut perlu ditukar. Buat masa ini Intel masih belum memberitahu sama ada mereka akan menggantikan CPU-CPU ini secara percuma.
Sebelum ini, ia dilaporkan bahawa isu ini hanya membelenggu cip pemprosesan Intel Core i9-K yang boleh dilewahjam, tetapi pengumuman baru oleh Intel mengatakan bahawa semua cip pemprosesan Raptor Lake dan Raptor lake Refresh yang mempunyai TDP sekurang-kurangnya 65W keatas boleh terkesan dengan pepijat ini.
Ini termasuklah semua siri cip pemprosesan Intel Core i9, Core i7 dan Core i5, termasuklah model-model yang tidak boleh dilewahjam. Menariknya, walaupun pengumuman ini dikeluarkan, Intel nampaknya tidak akan menghentikan jualan CPU-CPU mereka buat masa ini.
[sumber]The Verge[/sumber]