Pengecas Nirwayar 270 KW Untuk Kenderaan Elektrik Berjaya Dibangunkan
Effi Saharudin
Pengecas untuk kenderaan elektrik (EV) mempunyai satu kekurangan di mana ia tidak mudah digunakan oleh golongan OKU dan berusia. Disamping itu wujud isu kabel tidak cukup panjang untuk mengecas sesetengah EV. Penyelesaian kepada isu ini ialah mencipta pengecas EV nirwayar. Oak Ridge National Laboratory (ORNL) telah berjaya membangunkan pengecas nirwayar paling berkuasa dengan output sehingga 270 KW.
Dalam ujian yang dilakukan di makmal, sistem pengecasan nirwayar ini berjaya mengecas sebuah Porsche Taycan. Menerusi sistem pengecasan pantas, bateri boleh dicas sehingga 50% dalam masa 10 minit. Menurut ORNL, tahap kuasa yang tinggi ini dicapai dengan kecekapan pemindahan tenaga sehingga 95%.

Satu lagi kelebihan sistem yang dibangunkan ORNL ialah, pad pengecas di bawah EV bersaiz kecil. Kereta juga tidak perlu diletakkan betul-betuk di atas pad pengecas. Bateri masih boleh dicas walaupun asalkan pad pengecas pada kereta berada dalam lingkungan 12 cm daripada pemancar pengecas di permukaan lantai.
Dengan sistem pengecas nirwayar ini, ia bukan sahaja menyelesaikan isu ketercapaian bagi golongan tua dan OKU tetapi menyelesaikan isu kabel pengecas kenderaan yang sering menjadi mangsa kecurian. Pengecas nirwayar kuasa tinggi ini masih lagi di peringkat ujian dan masih belum sedia dipasarkan secara komersial.