Kerajaan sebelum ini sedia mengumumkan akan menggunakan teknologi 5G untuk siaran langsung acara SUKMA 2024 kelak. Selari dengannya, kini pihak Celcom, U Mobile dan ZTE mengumumkan telah bekerjasama dan akan melakukan penyiaran langsung acara SUKMA 2024 menggunakan teknologi 5G-Advanced.

Ketiga-tiga pihak ini akan bekerjasama untuk siaran acara pembukaan pada 17 Ogos 2024 kelak dari Stadium Sarawak, melalui RTM. Dengan langkah ini, ia sekaligus akan memperlihatkan keupayaan penggunaan 5G-Advanced untuk acara siaran langsung pada peringkat besar.
Sebelum ini, ketika fasa ujian, mereka telah menggunakan teknologi mmWave AAU oleh ZTE dalam menyediakan kapasiti rangkaian, selain menggunakannya dalam pengurusan penstriman. Teknologi ini juga dikatakan mampu menyokong kapasiti melangkaui 30Gbps pada setiap sel, sekaligus memberikan pengalaman yang baik kepada pengguna perkhidmatan B2B atau B2C.
Dengan perkembangan sihat ini, sama-sama kita nantikan siaran langsung SUKMA 2024 pada 17 Ogos 2024 ini yang akan menjadi siaran pertama di Malaysia melalui teknologi 5G-Advanced.