Apple Menggunakan Cip Google Tensor Untuk Melatih Apple Intelligence
Fahim Zahar
Apple akhirnya mengaku yang teknologi Google adalah hebat. Sekurang-kurangnya dalam arena kecerdasan buatan, kerana mereka menggunakan cip Google Tensor untuk melatih Apple Intelligence berbanding menggunakan cip NVIDIA yang banyak syarikat gunakan.

Untuk melatih Apple Intelligence, 2,048 cip Google TPUv5p digunakan untuk membangunkan model AI dan 8,192 cip Google TPUv4 digunakan untuk pelayan AI. Disebabkan akses kepada cip-cip Google hanya diberikan secara awanan, Apple harus membangunkan perisian AI mereka dengan alatan yang tersedia dalam platform Google. Jurutera Apple menjelaskan dalam kajian mereka yang cip Tensor Processing Unit atau TPU oleh Google sangat efisien dalam melatih AI yang rumit.
Dalam kertas kajian Apple, etika mengenai melatih AI turut dijelaskan yang tiada data peribadi pengguna digunakan dan hanya data-data umum atau yang telah dilesenkan sahaja digunakan untuk melatih Apple Intelligence. Apple Intelligence turut akhirnya boleh diuji dalam versi beta iOS 18.1, iPadOS 18.1 dan macOS Sequoia. Ia akan tiba ke pengguna sekitar Oktober selepas iOS 18 stabil dilancarkan.
[sumber] MacRumors [/sumber]