Meta Menamatkan Chatbot AI Mirip Selebriti, Fokus Kepada AI Studio
Fahim Zahar
Belum sempat digunakan, Meta telah menamatkan sokongan chatbot AI mirip selebriti yang diperkenalkan pada tahun lepas. Menurut Meta, mereka ingin beri pengguna lebih fleksibiliti dengan chatbot AI dengan AI Studio yang bebas menjana watak AI sendiri.

AI Studio adalah ciri yang menggunakan data-data dalam Instagram. Ia juga memerlukan akaun Instagram pengguna, di mana templat prom telah disediakan untuk menjana watak AI ini atau pengguna sendiri boleh menjana dengan apa jua konteks yang mereka ingini. Melaluinya, akan ada lebih banyak chatbot AI boleh dihasilkan dan tidak lagi terhad kepada chatbot selebriti yang memerlukan Meta membayar lesen kerana menggunakan persamaan perwatakan.
AI Studio masih terhad di Amerika Syarikat, sementara Meta AI pula masih belum ditawarkan di Malaysia. Akses dengan VPN turut telah dihalang kerana perkhidmatan mengesan lokasi sebenar pengguna. Sama-sama kita nantikan perkembangan Meta AI, sementara itu anda boleh gunakan Google Gemini yang telah rasmi tiba di Malaysia.
[sumber] The Information [/sumber]