Bulan Mei lepas, orang ramai mula mengecam Spotify selepas mendapati pengguna percuma mempunyai had untuk melihat lirik ketika muzik dimainkan. Untuk akses tanpa had, pengguna perlu melanggan ke mana-mana pelan Premium. Terbaru, akses lirik telah dikembalikan kepada pengguna percuma.

Menurut Spotify, mereka hanya ingin menguji ciri baharu untuk mengumpul maklum balas. Mengehadkan akses kepada lirik tidak berlaku kepada semua negara dan peranti, hanya golongan kecil yang terpilih sahaja. Menyedari akan aduan orang ramai, akses lirik akan dikembalikan kepada pengguna percuma di peringkat global.
Ciri lirik ini akan kembali secara berperingkat tetapi dalam semakan saya, akaun percuma Spotify saya sendiri dan akaun anak rakan pejabat turut telah boleh melihat lirik. Spotify tidak mendedahkan jumlah lirik yang dihadkan serta adakah strategi mereka menambah jumlah pelanggan berbayar. Apa-apa pun, selamat kembali menikmati lirik secara percuma dalam Spotify.