Teknologi Alibaba Cloud Yang Memperkasa Sukan Olimpik 2024
Ikhwan Nazri
Tibanya acara sukan berprestij setiap 4 tahun sekali iaitu Sukan Olimpik pastinya memerlukan kecanggihan teknologi untuk menyokong segala aspek penganjuran ini. Di Sukan Olimpik Paris 2024, Alibaba Cloud meneruskan komitmen mereka dalam menyediakan teknologi awan untuk melancarkan acara ini.

Terdapat empat aspek teknologi yang diperkuasakan oleh Alibaba Cloud. Pertamanya adalah OBS Cloud 3.0 iaitu sistem penyiaran sukan Olimpik berasaskan awanan yang turut diperkasa dengan AI. Pertama kali digunakan di Sukan Olimpik Tokyo 2020 untuk 1 saluran penyiaran, versi 3.0 yang digunakan di Paris ini digunakan sehingga 54 saluran penyiaran. Malah teknologi AI juga membolehkan acara sukan dapat dilihat dari sudut pandang berlainan.

Ini membolehkan rakaman main-semula dan juga aksi pegun diperlihatkan dari pelbagai sudut, dan memberikan pengalaman menonton yang lebih bermakna. Sistem rakaman ini digunakan di 14 lokasi yang merangkumi 21 sukan antaranya ragbi, badminton, bola keranjang, judo. tennis dan bermacam lagi.
Seterusnya Alibaba Cloud Energy Expert turut digunapakai dalam mengoptimasi penggunaan tenaga di kesemua 35 lokasi pertandingan seluruh acara Olimpik Paris 2024. Sistem Energy Expert ini yang pertama kali diperlihatkan sewaktu acara eSukan Olimpik Singapura 2023 akan memantau penggunaan tenaga termasuklah pelan kontigensi, kapasiti penonton dan atlit di stadium, dan juga memaparkan keadaan cuaca dalam satu paparan mudah untuk pihak penganjur.

Menerusi sistem Energy Expert ini juga, pihak penganjur dapat menyukat kadar pembebasan karbon, dalam memastikan acara Olimpik Paris 2024 ini mematuhi tahap kelestarian yang ditetapkan. Dan sistem AI pada Energy Expert ini turut memberikan cadangan untuk mengurangkan pembebasan karbon, seperti mencadangkan penggunaan bahan kayu dan besi yang dikitar semula di beberapa lokasi sekitar Paris.
Seperkara lagi teknologi yang digunakan Alibaba Cloud pada acara ini adalah pewarnaan semula detik-detik Sukan Olimpik Paris 1924 menggunakan AI. Alibaba Cloud juga telah menghasilkan satu video pendek khas untuk atlit wanita sepanjang sejarah Olimpik yang turut melalui proses pewarnaan secara AI.

Dengan penyertaan Alibaba Cloud sebagai rakan teknologi utama Sukan Olimpik ini sekaligus dapat memperlihatkan manfaat teknologi awanan untuk pengguna awam, disamping manfaat AI yang semakin popular digunakan sekarang.