Nampaknya tahun ini tiada lagi halangan untuk ciri merakam panggilan telefon kerana Google dan Apple yang pernah mengharamkan ciri ini telah menawarkannya pada Pixel dan iPhone. Ciri ini diintegrasikan dengan teknologi kecerdasan buatan generatif untuk menjana transkripsi teks yang turut boleh merumuskan keseluruhan sesi panggilan telefon. Terbaru OnePlus turut akan menyertakan ciri lebih kurang sama.

Cuma untuk OnePlus, ia memerlukan OnePlus Buds. Dalam aplikasi OnePlus Buds baharu terdapat ciri yang dinamakan sebagai AI Call Assistant. Menariknya dengan ciri ini ia turut akan menyokong pelbagai aplikasi. Selain itu, audio dan video yang sedang dimainkan turut boleh dirumuskan. OnePlus menyatakan ciri ini memerlukan kuasa yang tinggi, disebabkan itu jika peranti berada dalam mod penjimatan bateri, mod meditasi (Zen Mode) dan mod kanak-kanak ciri ini mungkin akan dimatikan.
AI Call Assistant ini tidak menyokong semua peranti OnePlus, begitu juga dengan OnePlus Buds yang dikatakan mungkin terhad kepada Buds Pro 3. Di China, ciri ini telah ditawarkan kepada pengguna tetapi untuk pasaran global ia masih belum diaktifkan lagi. Sama-sama kita nantikan.