Canalys – Pasaran Telefon Pintar Global Meningkat 12% Pada Q2 2024
Amy Maizuraa
Pasaran telefon pintar di seluruh dunia terus mengalami peningkatan pesat pada Q2 2024 dengan angka jualan keseluruhan mencecah 288.9 juta unit. Ia adalah 12% lebih tinggi berbanding Q2 2023. Malah apa yang lebih penting ialah pasaran kini mencatatkan pertumbuhan suku ke suku untuk kali ketiga berturut-turut seperti yang dinyatakan dalam laporan terkini Canalys. Ini didorong oleh kadar inovasi dan penambahbaikan fungsi produk sedia ada untuk memenuhi keperluan pengguna secara kreatif.

Berdasarkan statistik terkini Canalys, Samsung sekali lagi mendahulu senarai dengan angka keseluruhan 53.5 juta unit. Ini disumbang oleh barisan peranti mercunya yang terus memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan tersebut. Seterusnya Apple dilihat di tangga kedua dengan 45.6 juta penghantaran dan 16% bahagian pasaran yang turut menunjukkan prestasi kukuh di Amerika Utara dan rantau Asia Pasifik.

Dalam pada itu, Xiaomi berada di tangga ketiga senarai dengan pertumbuhan jualan terbesar 27% berbanding yang lain. Ia menjual sebanyak 42.3 juta peranti untuk 15% pegangan pasaran. Vivo berada di tempat keempat dengan 25.9 juta penghantaran dan 9% pegangan pasaran. Di tempat kelima ialah Transsion (Tecno, Infinix dan iTel) yang menjual sebanyak 25.5 juta unit dengan 9% pegangan pasaran. Jualan Transsion turut menunjukkan peningkatan sebanyak 12% berbanding 9% pada Q2 2023.

Canalys meramalkan bahawa industri telefon pintar akan mencapai tahap agak baik berbanding 2023. Dengan permintaan pengguna yang tidak menentu pada tahun akan datang, pengeluar dicadangkan untuk memberi tumpuan terhadap bagaimana untuk menyampaikan pengalaman terbaik untuk menarik minat pengguna. Seterusnya mampu mengukuhkan lagi kedudukan masing-masing untuk lebih baik pada masa mendatang.
[sumber ] Canalys Newsroom [/sumber]