Carian
Snapdragon Dev Kit Ialah Komputer Padat Pertama Dikuasakan Cip Snapdragon X Elite
August 1, 2024 Nazrin

Komputer-komputer riba yang dikuasakan cip pemprosesan ARM Qualcomm terbaru, Snapdragon X sudahpun mula diperkenalkan di pasaran tempatan dan juga antarabangsa. Tetapi sehingga kini, ia rata-rata hanya diperlihatkan pada platform komputer riba.

Terkini, Qualcomm telah memperlihatkan kit pembangun peranti mereka sendiri yang dinamakan Snapdragon Dev Kit. Ia merupakan sebuah kit pembangun yang dihasilkan sendiri oleh Qualcomm untuk membolehkan pembuat peranti untuk menguji pelbagai aspek cip Qualcomm Snapdragon X mereka, dan ia hadir dalam rekabentuk komputer desktop.

Seperti yang dijangka, kit ini menggerakkan sistem operasi Microsoft Windows 11, dan dikuasakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X Elite dengan 12 teras, bersama-sama dengan 32GB memori LPDDR5X dan juga storan SSD PCIe 4.0 sebesar 512GB.

Kit pembangun ini dibina khusus untuk mereka yang mahu membina perisian untuk sistem operasi Windows 11 versi ARM dan hadir dengan sokongan untuk WiFi7, Bluetooth 5.4 dan hadir dengan piilhan tiga palam USB Type-C, dua palam USB Type-A, palam LAN RJ-45 dan palam HDMI semua dalam rangka bersaiz 199mm x 175mm x 35mm.

Kit pembangun ini dilihat hadir pada harga $899, tetapi buat masa ini hanya ditawarkan di pasaran-pasaran terpilih.

Komen