Ulasan Sony ULT Field 1 – Speaker Cili Padi
Effi Saharudin
Speaker kecil ialah aksesori audio yang saya gunakan di rumah khususnya di dapur ketika memasak dan juga di balkoni ke menyidai baju. Speaker pada telefon pintar tidak cukup kuat untuk mendengar lagu kegemaran dengan jelas. Dalam situasi ini speaker kecil tetapi berkuasa diperlukan. Menerusi Sony ULT Field 1 saya merasakan telah menemukan speaker yang bukan sahaja mempunyai kelantangan yang tinggi tetapi amat mudah digunakan.

Spesifikasi
| Sony ULT FIELD 1 | |
|---|---|
| Jenis | Speaker niwayar mono |
| Pemandu | Woofer 83 x 42 mm Tweeter 16mm |
| Mikrofon | 1 mikrofon |
| Bateri | 12 Jam |
| Port pengecas | USB-C |
| Sambungan | Bluetooth 5.3 |
| CODEC | AAC, SBC |
| Sistem operasi disokong | Semua |
| Sokongan pembantu maya | Tiada |
| Butang | Kuasa Laras audio Kawalan muzik Bluetooth ULT |
| Kemampuan kalis air | IP67 |
| Harga Jualan | RM 629 |
Rekaan ULT Field 1 mirip sebuah tin air aluminium yang mungkin disengajakan bagi membolehkan ia diselitkan pada poket sisi beg atau pemegang air pada sebuah basikal. Kerana saiz yang sama ia juga selesa dipegang dalam genggaman tangan. Terdapat sebuah tali tambahan yang membolehkan ia disangkut pada pergelangan tangan atau cangkuk ketika digunakan di luar. Tali ini panjang membolehkan ULT Field 1 diselitkan pada kerusi, cangkuk atau paku di dinding.

Pada hujungnya pula terdapat dua penutup berongga yang membolehkan audio daripada dua radiator menghalakan audio ke sisi. Bahagian hujung yang diperbuat daripada plastik ini juga membolehkan speaker diletakkan secara berdiri. Ia agak berkotak maka dapat mengelakkan speaker bergolek apabila diletakkan mendatar.

Tubuh diperbuat daripada bahan kanvas kasar yang kerap digunakan pada speaker mudah alih. Ia sama sahaja dengan kemasan pada Huawei Sound Joy yang pernah diulas sebelum ini. Kemasan ini mempunyai tekstur kasar yang membuatkan speaker masih boleh dipegang dengan rapi walaupun dalam keadaan basah. Pemilik tidak perlu risau sekiranya ULT Field 1 basah sekalipun kerana ia melepasi piawaian IP67. Maka ini adalah sebab mengapa saya berani menggunakannya di dapur berhampiran sinki. Speaker ini juga tahan hentakan menurut Sony asalkan dari ketinggian 1.2 meter.
Pada bahagian atas terdapat butang kuasa, bluetooth, mengawal muzik, laras kelantangan audio dan ULT. Butang diletakkan pada permukaan silikon lembut yang sebenarnya membuatkan saya sedikit risau. Berdasarkan pengalaman peribadi, silikon lembut seperti ini akan menjadi kendur selepas beberapa tahun digunakan.

Port pengecasan USB-C pula diletakkan pada bahagian bawah di sebalik sebuah pintu getah. Pintu berbentuk empat segi ini akan menghalang air daripada memasuki port pengecas. Tidak seperti ULT Tower 10, Sony tidak menyertakan sistem lampu LED berkelip pada ULT Field 1. Mungkin untuk mengurangkan penggunaan bateri.

Speaker adalah dari jenis mono dengan terdapat satu woofer dan satu tweeter yang disorokkan di sebalik kekisi speaker kanvas. Codec yang disokong menerusi bluetooth adalah sekadar SBC dan AAC sahaja. Selain pemandu audio, ULT Field 1 juga hadir dengan sebuah mikrofon terbina.
Penggunaan dan Perisian
Perkara pertama yang saya sedari ialah betapa mudahnya menambat ULT Field 1 pada sebuah telefon pintar. Bagi pengguna Android, terdapat sokongan Google Fast Pair. Kali pertama speaker dihidupkan, saya menerima notifkasi pada telefon pintar yang bertanya sama ada tambatan bluetooth ingin dilakukan. Tekan ya dan kemudian Fast Pair akan menyarankan saya memuat turun aplikasi Sony Music Center dari Play Store. Pada peranti Apple, tekan bukan bluetooth sekali dan lampu biru akan berkelip menandakan ia sedia untuk ditambat.

Butang kuasa dan bluetooth adalah sangat responsif. Tambatan bluetooth menggunakan ULT Field 1 juga adalah paling pantas pernah saya alami. Biasanya apabila menggunakan bluetooth saya perlu menanti 2-3 saat sebelum speaker bersambung pada telefon. ULT Field 1 melakukannya hampir sekelip mata.

Perisian Sony Music Center adalah agak terhad dari segi ciri. Sekadar boleh mengubah equaliser, memilih mod penggunaan (dengan Stamina memanjangkan hayat bateri) dan juga menggabungkan dua ULT Filed 1 untuk berfungsi secara stereo. Tidak seperti fon kepala keluaran Sony, saya merasakan tidak ada keperluan sangat untuk memuat turun aplikasi.
Untuk mengawal muzik, ianya sama dengan semua speaker mudah alih lain di pasaran. Tekan butang Play sekali untuk menjeda, dua kali untuk langkah ke lagu seterusnya dan tiga kali untuk langkah ke lagu sebelumnya. Butang Play turut boleh digunakan untuk menjawab panggilan telefon dan ULT Field 1 boleh digunakan untuk menjawab panggilan telefon.
Kualiti Audio
Ini ialah sebuah speaker mono maka dari segi kualiti audio ia sudahpun mempunyai satu kekurangan yang ketara. Bunyi audio tidak akan memberikan pengalaman audio yang terbaik. Tetapi majoriti speaker bluetooth dalam kategori yang sama dengan seperti Huawei Sound Joy juga mono. Maka saya akan mengadili ULT Field 1 dengan speaker di dalam kategori yang sama.

Walaupun mono audio yang dihasilkan adalah memuaskan. Bass yang menumbuk diafragma khususnya jika mod ULT diaktifkan. Tanpa ULT, bunyi yang dilontarkan adalah kurang bermaya dan terasa nipis. Treble adalah memuaskan dengan bunyi petikan gitar kedengaran nyaring. Pada tetapan paling tinggi bunyi yang dikeluarkan adalah jelas tetapi jika ULT diaktifkan ia mula menjadi sedikit berkecamuk. ULT Field 1 lebih sesuai digunakan di ruang yang kecil kerana saiznya tidak cukup besar untuk memenuhi ruang yang lebih luas.
Saya lebih gemar mendengar muzik instrumental dan jazz menggunakan speaker ini kerana audio terasa lebih seimbang tanpa bass yang kuat membuatkan elemen muzik lain tenggelam. Audio mid pada ULT Field 1 menjadi tidak jelas setiap kali mod ULT diaktifkan. Bagi peminat podsiar, audio suara jelas walaupun pada tetapan kelantangan tertinggi.

Walaupun boleh ditambat kepada TV, saya tidak boleh sarankan ULT Field 1 digunakan sebagai pengganti speaker TV kerana audio sekadar mono. Seperti saya katakan di atas terdapat sokongan stereo jika terdapat dua speaker ULT Field 1. Dalam mod ini audio yang dihasilkan terasa lebih memuaskan kerana saluran kiri dan kanan dipisahkan dengan baik.

Selepas telah dipasangkan, speaker akan kekal dalam mod berfungsi secara stereo. Oleh itu jika dipasangkan kepada peranti lain seperti TV atau tablet, saya hanya perlu menambat speaker kiri ULT Field 1 kepada sebuah TV dan audio stereo dapat dinikmati tanpa perlu menambat kedua-dua speaker kepada TV. Kemudian untuk mematikan speaker selepas digunakan, hanya satu sahaja perlu dimatikan. Sistem cukup bijak untuk mematikan kedua-duanya sekali.
Bateri
Bateri diiklankan boleh bertahan sehingga 12 jam yang apabila dibandingkan dengan speaker mudah alih lain adalah agak pendek. Dalam ujian selama seminggu, secara purata saya dapat menggunakan ULT Field 1 sehingga 8 jam pada tetapan audio sederhana dan mod ULT dimatikan. Ia merosot ke sekitar 3-4 jam pada tetapan audio lebih tinggi dan ULT diaktifkan. Pengecasan mengambil masa sekitar 5 jam yang saya rasakan terlalu perlahan.

.
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.
- 1x Sony ULT Field 1
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x manual.
Kesimpulan
Sony ULT Field 1 ialah speaker yang lantang dan serasi digunakan dalam situasi anda mencari speaker mudah alih tahan lasak untuk digunakan di luar dan mudah dibawa ke mana-mana sahaja. Kekuatan terletak pada kelantangan audio yang mampu dicapai serta kemampuan kalis air IP67. Bagi pengguna Android, sistem Fast Pair memudahkan tambatan dilakukan. Pengguna ekosistem Android juga mempunyai kelebihan kerana tablet dan TV Android dapat mengesan ULT Field 1 apabila ia berhampiran. Proses menambat ke Android TV misalnya hanya memerlukan satu butang ditekan pada alat kawalan jauh.

Kekurangan pada hemat saya hanyalah audio mono, hayat bateri yang tidak begitu lama dan perisian yang agak terhad. Di Malaysia Sony ULT Field 1 dijual pada harga RM629 dalam pilihan warna hitam, putih, oren dan hijau.
Pro
- Rekaan kompak dan selesa dipegang.
- Kalis air IP67.
- Tambatan bluetooth yang paling pantas pernah dilihat.
- Sokongan Google FastPair.
- Audio lantang dan jelas.
- Rekaan tahan lasak.
Kontra
- Audio mono.
- Hayat bateri yang pendek.
- Pengecasan perlahan.
- Aplikasi kurang ciri.
