Jenama tetikus kegemaran saya adalah Logitech dan model yang saya gunakan adalah MX Master 3s. Sudah lebih dua tahu saya menggunakan tetikus ini dan ia adalah antara yang terbaik pernah saya gunakan. Baru-baru ini, CEO Logitech iaitu Hanneke Faber berkongsi dengan The Verge yang mereka sedang mempertimbangkan tetikus beli sekali guna selamanya.

Pasukan Logitech di Ireland telah membangunkan tetikus baharu yang sedikit lebih berat berbanding tetikus Logitech yang lain. Tetikus ini adalah untuk kategori produk premium dan ia direka untuk menjadi tahan lebih lama dengan memberi sokongan kemas kini. Pengguna yang membeli mungkin akan dicas langganan bulanan untuk menampung kos kemas kini perisian. Logitech ingin menjana pendapatan dengan menawarkan ciri dan fungsi baharu melalui perisian sahaja.

Idea lain yang Hanneke Faber jelaskan adalah menjana pendapatan dengan setiap tetikus ini boleh diganti dengan unit baharu dan unit terpakai ini akan dikitar semula atau dipulihkan untuk dijual semula. Ia adalah strategi yang bukan sahaja boleh menjana pendapatan tetapi turut mengelak lambakan sisa elektronik. Buat masa ini ia hanya satu konsep yang mereka sedang pertimbangkan dan belum ada perancangan untuk memperkenalkannya dalam masa terdekat. Apa pendapat anda mengenai idea Logitech ini?