SKMM Memperlihatkan Butiran Mengenai Kerangka Kawal Selia Untuk Media Sosial
Nazrin
Bermula hari ini, 1 Ogos 2024, syarikat-syarikat pengendali platform media sosial dan juga permesejan atas talian seperti Meta (Facebook, WhatsApp, Instagram), Telegram, TikTok dan sebagainya perlu mendaftar untuk lesen mengendali platform media sosial di Malaysia, sebelum keperluannya diwartakan sebagai wajib bermula 1 Januari 2025.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia hari ini telah memperlihatkan butiran mengenai Kerangka Kawal Selia dan mengatakan bahawa keperluannya adalah berasaskan isu-isu eksploitasi yang sering berlaku di platform permesejan dan juga media sosial.
Bagi platform-platform permesejan dan media sosial yang mempunyai lebih dari 8 juta pengguna di Malaysia, mereka kini diwajibkan untuk mendaftar untuk lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (APS C). Menurut pihak SKMM, lesen ini hanya diwajibkan untuk penyedia perkhidmatan permesejan dan juga platform media sosial seperti X/Twitter, Meta, TikTok, Telegram, WeChat dan YouTube. Gedung atas talian seperti Shopee, Lazada dan sebagainya tidak terikat dengan undang-undang baru ini.
Kerangka kawal selia ini akan memastikan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial dipertanggungjawabkan untuk menguruskan operasi mereka dengan lebih baik di Malaysia termasuk menangani secara efektif kandungan yang mudarat, selain memperkukuhkan sistem dan proses mereka dalam mengurangkan jenayah siber pada platform mereka. Ini juga secara tidak langsung menjadikan platform media sosial ini lebih bertanggungjawab dalam penawaran perkhidmatan dan kandungan melaluinya.
Kriteria yang diperkenalkan untuk mendaftar lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi ini adalah seperti berikut:
- Yuran pendaftaran pelesenan RM2,500
- Permohonan pelesenan dibuat oleh syarikat yang diperbadankan di Malaysia
- Pengemukaan dokumen berdasarkan senarai semak permohonan Lesen Kelas
Butiran tambahan mengenai pendaftaran syarikat-syarikat ini boleh diperlihatkan melalui laman sesawang Panduan Pelesenan SKMM. Lesen ini juga perlu diperbaharui setiap tahun, selagi kriteria 8 juta pengguna dipenuhi syarikat-syarikat ini.
Apabila ditanya bagaimanakah pihak SKMM akan menentukan bilangan pengguna Malaysia pada platform-platform ini, mereka mengatakan bahawa mereka akan menggunakan menggunakan data daripada survei rasmi sendiri seperti Kajian Pengguna Internet MCMC. Data-data lain yang tersedia secara umum dan boleh dipercayai juga akan diambilkira untuk menentukan jumlah pengguna pada platform-platform ini.
Platform permesejan dan media sosial yang beroperasi tanpa lesen bermula 1 Januari 2025 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 dan boleh dikenakan denda selanjutnya sebanyak RM1000 sehari untuk setiap hari platform tersebut beroperasi tanpa lesen selepas pensabitan.
Untuk penyedia perkhidmatan yang melanggar syarat lesen dan keperluan tatalaku, pihak SKMM boleh mengambil tindakan merangkumi amaran pentadbiran, pengeluaran arahan pematuhan untuk membetulkan pelanggaran, mengenakan penalti sivil atau pengkompaunan kesalahan dalam menangani isu pelanggaran ini secara berkadar.
Bagi kesalahan yang lebih serius, pihak SKMM juga boleh menyekat capaian terus kepada platform tersebut, menarik lesen APS (C) dan juga memulakan proses pendakwaan terhadap syarikat tersebut.

Menurut laporan ECPAT oleh UNICEF pada 2022, seramai 100 ribu kanak-kanak di Malaysia berisiko kepada pengeksploitasian seksual dalam talian. Satu lagi laporan oleh UNODC mengatakan bahawa laporan transaksi mencurigakan (Suspicious Transaction Report) meningkat dari 2019 ke 2022 sebanyak dua kali ganda ke 42 ribu laporan. Nilai transaksi yang berlaku menurut laporan ini meningkat sehingga RM26 bilion dalam tempoh yang sama.
Insiden buli dan penipuan dalam talian juga meningkat secara mendadak. Menurut SKMM, sebanyak 9483 kes buli atas-talian telah dilaporkan dari Januari 2022 sehinggalah ke Julai 2024. Dalam pada itu, kes penipuan atas talian di Malaysia meningkat dua kali ganda daripada 17,688 kes pada 2019 kepada 34,495 kes pada 2023.
Oleh kerana ini, pihak SKMM telah menjalankan sesi libat urus dijalankan bersama-sama dengan penyedia perkhidmatan, pertubuhan masyarakat sivil, badan bukan kerajaan dan agensi penguatkuasa undang-undang dari Januari 2024 sehingga Julai 2024 sebelum membuat keputusan untuk memperkenalkan lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (APS C) ini.