Turkiye Kini Menyekat Akses Kepada Instagram
Amy Maizuraa
Turkiye dilihat mula menyekat akses kepada platform media sosial Instagram, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pengawal selia infotech. Kenyataan yang diumumkan hari ini bagaimanapun tidak menyatakan sebab mengapa sekatan dilakukan. Malahan juga tidak mendedahkan tempoh sekatan itu sekaligus menyebabkan aplikasi milik Meta tidak boleh diakses sepenuhnya di Turkiye pada ketika ini.

Namun ada pihak yang mengaitkannya dengan komen yang dibuat oleh Pengarah komunikasi Turkiye, Fahrettin Altun yang mengkritik tindakan platform itu menurunkan serta memadam kandungan berhubung pembunuhan ketua biro politik Hamas Ismail Haniyeh semalam.
Hal yang sama itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang turut menyatakan kesal dengan tindakan Meta yang menurunkan video serta ucapan takziah beliau kepada keluarga Haniyeh semalam.
Mengikut terma dan syarat platform Meta yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Hamas dikategorikan sebagai “organisasi berbahaya” dan oleh itu sebarang kandungan berkaitannya adalah tidak dibenarkan sama sekali.
[sumber] Reuters [/sumber]