Proton Memperkenalkan Kereta Elektrik Pertama – eMAS7
Ikhwan Nazri
Tidak lebih dari dua bulan pengenalan jenama EV Proton eMas dilakukan, hari ini Proton telah memperkenalkan EV pertama mereka yang akan dibawa masuk iaitu e.MAS7.


Proton e.MAS7 ini merupakan unit pertama yang menggunakan rangka Global Modular Architecture (GMA) untuk fasa pertama yang dibangunkan menerusi kerjasama Proton dan Geely, dan turut menggunakan teknologi bateri Aegis Short Blade Battery yang mempunyai ketumpatan tenaga yang lebih, dan mempunyai ketahanan sehingga 3500 kitaran. Motor elektriknya pula hanyalah seberat 82.5kg dengan kecekapan tenaga sebanyak 90.04%


Proton e.MAS7 merupakan model berasaskan Geely Galaxy E5 yang berada dalam kelas SUV kompak. Ia dilengkapi satu motor elektrik 160 kW dengan kuasa 218 PS yang boleh memecut 0-100km/j dalam masa 6.8 saat dengan kelajuan maksimum 175 kmj. Dua pilihan bateri yang ditawarkan iaitu 49.52 kW dan 60.22kW memberikan jarak perjalanan 440 km dan 530 km mengikut piawaian CLTC.


Selain dari itu, terdapat 29 lokasi di seluruh Malaysia yang akan menjual serta menyediakan perkhidmatan untuk Proton e.MAS. Malah mereka juga sedang membangunkan aplikasi e.MAS yang dilihat menyamai fungsi aplikasi Hello Smart yang menawarkan integrasi aplikasi dan juga EV.


Buat masa ini tiada sebarang makluman berkenaan harga mahupun pilihan warna dan juga pilihan spesifikasi. Malah Proton e.MAS7 yang dipamerkan kelihatan hadir dengan corak samaran yang sudah tentunya bukan corak akhir. Sama-sama kita nantikan pengumuman selanjutnya dari Proton kelak.
