Google Melesenkan Teknologi Character.AI Dan Sebahagian Pasukan Character.AI Menyertai Google
Aman
Sejak kebelakangan ini, beberapa proses pengambil-alihan oleh syarikat teknologi menghadapi kekangan oleh pihak berkuasa untuk mengelak monopoli dalam sesuatu arena. Ini sekaligus membuatkan sejumlah proses pengambil-alihan tidak dapat dilakukan, dan syarikat teknologi gergasi sendiri berpada-pada dalam proses pengambil-alihan.

Menyedari perkara ini, Google kini dilihat mencuba kaedah berbeza berbanding pengambil-alihan biasa. Terbaru, Character.AI mengumumkan mereka akan melesenkan teknologi bahasa raya yang dibangunkan mereka secara tidak eksklusif kepada Google – dan pada masa yang sama, perjanjian ini akan membolehkan Character.AI dalam terus membangunkan produk-produk berasaskan kecerdasan buatan oleh mereka.
Disamping itu, pengasas dan sejumlah pasukan pengkaji di Character.AI akan turut menyertai Google. Sebahagian pasukan akan kekal membangunkan produk sedia ada di Character.AI.
Perkongsian terbaru oleh pihak Character.AI ini hadir selang beberapa hari hadir desas-desus mengatakan Elon Musk menyasarkan pengambil-alihan syarikat berkenaan dibawah firma xAI.